
TIDAK mampu bertahan dalam hubungan rumah tangga yang retak, seorang wanita nekad memilih untuk bangkit memperbaiki diri selepas mengetahui suaminya mempunyai hubungan lain di belakangnya.
Menerusi perkongsian wanita tersebut di akaun Threads @bong_soon88, tindakannya itu didorong selepas 10 tahun mempertahankan rumah tangga.
Dalam hantaran sama, terdapat lima perkara utama dilakukan sejurus mendapat tahu kelakuan suaminya itu.
BACA LAGI: FOMO punca utama anak muda terjebak budaya buli, bimbang dipulaukan, tekanan rakan sebaya
BACA LAGI: [VIDEO] Ambil masa 4 tahun ubah dekor rumah konsep ala animasi Ghibli, kumpul gajet 'vintage'
"Apabila dapat tahu suami main kayu tiga, perkara pertama yang saya buat adalah guna duit RM30,000 miliknya.
"Saya buat bariatrik, beli kereta baharu, ambil pakej rawatan kulit setahun, cabar diri bagi ucapan di pentas nasional dan tingkatkan kemahiran untuk kerjaya," katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh 10 tahun mendirikan rumah tangga, beliau terlalu sibuk memberi tumpuan kepada keluarga hingga mengabaikan penampilan dan kesihatan diri sendiri.
Namun, pengalaman pahit itu ternyata mengubah perspektif hidupnya.
Katanya lagi, keputusannya melakukan pembedahan bariatrik bukanlah sekadar untuk tujuan kecantikan, tetapi kerana mahu kekal sihat demi anak-anak yang masih kecil.
"Saya tahu kalau jatuh sakit, saya tak boleh bergantung pada sesiapa.
"Anak-anak masih perlukan ibu yang sihat," jelasnya yang kini berjaya menurunkan berat sebanyak 26 kilogram.
Wanita itu turut menekankan bahawa kisahnya bukan sekadar untuk mencari perhatian, sebaliknya sebagai bentuk motivasi kepada kaum hawa agar tidak lupa menghargai diri sendiri.
"Setiap wanita ada kekuatan masing-masing. Apa jua keadaan, sayangi diri dahulu sebelum terlambat.
"Apa yang kita ada di dunia ini hanyalah pinjaman, sandarkan harapan pada ALLAH sahaja.
"Saya doakan semua wanita diberikan kekuatan luar biasa," ujarnya.
Katanya, hubungannya dengan suami masih dalam keadaan baik tanpa sebarang pergaduhan disebabkan perkara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram