Punca kematian Zara Qairina akibat kecederaan otak traumatik teruk – Saksi


  • Kes
  • Selasa, 09 Sep 2025

Zara dilaporkan meninggal dunia kerana kecederaan serius pada otaknya.

PUNCA kematian pelajar tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir didakwa kerana mengalami pendarahan dalam otak akibat kecederaan traumatik teruk, menurut saksi dalam inkuesnya di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa. 

Menurut laporan perubatan yang dibacakan oleh saksi keempat pendakwaan, Pegawai Perubatan Jabatan Neurosurgeri Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Pavankumar Balachandran, Zara mengalami komplikasi hypoxic-ischemic encephalopathy (HIE) disebabkan pendarahan pada otak.

Organ pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan juga tidak berfungsi semasa dia tiba di hospital.

BACA LAGI: Tiada tanda penderaan pada tubuh Zara Qairina — Saksi

BACA LAGI: [VIDEO] Solidariti serumpun, tukang gunting dari Jawa Barat 'lakar' wajah Zara Qairina guna rambut pelanggan

"Keadaan pesakit merosot dan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 pada kira-kira 1.07 tengah hari. Punca kematian adalah akibat kecederaan otak traumatik yang teruk dengan HIE.

"Kematian pesakit dimaklumkan kepada pegawai penyiasat. Mayat seterusnya disimpan di wad sehingga ketibaan pegawai penyiasat," ujarnya.

Dr Pavankumar membaca laporan tersebut di depan Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad turut mendedahkan pemeriksaan luaran menemui bengkak dan luka koyakan di belakang kepala, serta kesan jahitan untuk menghentikan pendarahan.

Pihak hospital kemudiannya menjalankan ujian imbasan tomografi berkomputer atau CT scan dan menemui kecederaan Zara adalah kritikal selepas kehilangan bahan kelabu dan putih pada otaknya.

"Hasil imbasan tomografi berkomputer (CT scan) otak menunjukkan terdapat pendarahan subarachnoid akut di kedua-dua belah hemisfera otak, pendarahan subdural di beberapa bahagian termasuk fissur interhemisfera dan tentorium cerebelli, selain tanda-tanda awal herniasi tonsillar di foramen magnum.

"Laporan perubatan turut menyatakan berlaku kehilangan kejelasan antara bahan kelabu dan putih otak, tanda kepada kerosakan neurologi yang kritikal," jelasnya.

Dr Pavankumar turut mengatakan yang peluang untuk Zara selamat amatlah kecil sewaktu dia tiba di hospital.

Ia disebabkan Zara tidak lagi memberikan tindak balas neurologi ketika tiba di hospital pada 17 Julai untuk mendapatkan rawatan.

Ketika itu, Zara sudah pun diletakkan dalam intubasi dengan tahap kesedaran cukup rendah, tiada tindak balas daripada otak dikesan serta anak mata kekal membesar.

"Dia telah diintubasi dan diletakkan pada ventilasi mekanikal.

"Prognosisnya sangat teruk, yang bermaksud peluangnya untuk terus hidup adalah amat tipis," katanya.

Dalam masa yang sama Dr Pavankumar turut mengatakan Zara juga mengalami patah pergelangan tangan kiri, patah buku lali kiri dengan luka terbuka, serta kecederaan pada pergelangan kaki kanan. — The Star/SANDRA SOKIAL

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram