Tiada tanda penderaan pada tubuh Zara Qairina — Saksi


  • Kes
  • Selasa, 09 Sep 2025

Mahkamah masih belum memutuskan punca sebenar di sebalik kematian arwah Zara Qairina.

TIADA kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit ketika Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tiba di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Buletin TV3, Dr Janefer Voo yang merupakan saksi keempat dan juga pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu berkata, pada pukul 4.38 pagi 16 Julai, dia menerima Zara yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Antara kecederaan dialami mangsa termasuklah bengkak dan pendarahan di belakang kepala, patah tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri serta patah tertutup pada pergelangan kaki kanan.

BACA LAGI: Punca sebenar kematian Zara Qairina, pakar patologi serah keputusan kepada mahkamah

BACA LAGI: Mustahil boleh sumbat Zara Qairina dalam mesin basuh — Pakar patologi

Selepas pemeriksaan, ‘Trauma Alert’ diaktifkan di Jabatan Kecemasan HQE pada pukul 4.42 pagi 16 Julai bagi rujukan segera kepada pasukan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi.

“Berdasarkan penilaian saya, pesakit disyaki mengalami kecederaan otak trauma yang serius, kecederaan di belakang kepala, patah pada kedua-dua pergelangan kaki serta pergelangan tangan kiri, selain disyaki mengalami pendarahan dalaman.

Kenyataan saksi itu dibacakan di Mahkamah Koroner dekat Kota Kinabalu, Sabah.

“Disebabkan tekanan darah pesakit yang terlalu rendah, dia disyaki mengalami kecederaan dalaman akibat trauma ‘impak tinggi’ pada badan yang menyebabkan pendarahan dalaman.

“Tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu, Sabah.

Pegawai penyelaras, Datuk Badiuszaman Ahmad, kemudian meminta Dr Voo menandatangani kenyataan saksinya.

Dr Voo berkata, selepas proses resusitasi dan pengimejan dilakukan, pesakit didapati mengalami pendarahan dalam otak, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri dan tumit kiri, patah tertutup pada lengan kiri dan kaki kanan, patah tulang lumbar vertebrae 2, 3 dan 4, serta pembekuan darah pada tulang pelvis dan otot psoas kiri.

Dr Voo adalah pegawai perubatan pelatih dari Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang ditempatkan di HQE. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram