'Ini amanah orang’, bekas ketua kampung kecewa isu tanah masjid diceroboh masih tak selesai di Dengkil


  • Massa
  • Selasa, 09 Sep 2025

Bekas ketua kampung Dengkil itu meluahkan rasa tidak puas hatinya sambil menunjukkan surat berhenti tugas yang diterimanya (kanan).

SEORANG bekas ketua kampung di Dengkil, Selangor meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak Pejabat Daerah Tanah Sepang apabila mendakwa masalah pencerobohan tanah masjid di kawasan itu gagal diselesaikan meskipun telah berlarutan bertahun-tahun.

Menurut individu tersebut iaitu Bekas Pengerusi Dengkil di Facebook, tindakan yang diambilnya sebelum ini hanyalah melaksanakan amanah yang diberikan oleh penduduk kampung untuk menuntut hak mereka.

Namun isu berkenaan tidak mendapat penyelesaian sewajarnya daripada pihak berkuasa walaupun mereka mempunyai kuasa, malah lebih teruk, dia diberhentikan daripada menjadi ketua kampung.

BACA LAGI: Tiada tanda penderaan pada tubuh Zara Qairina — Saksi

BACA LAGI: [VIDEO] Curi beg jemaah wanita ketika sedang sujud, polis Kota Tinggi buru suspek lelaki

"Apa yang saya buat ni adalah amanah yang diberikan orang kampung untuk selesaikan masalah tanah masjid yang diceroboh bertahun-tahun tapi kalian tak mampu nak selesaikan walaupun ada kuasa.

“Bila kita dapat jawatan kecil, kita cuba jadi bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara. Lagi-lagi yang pegang jawatan besar, gunakanlah untuk kebaikan masyarakat.

"Kalau jawatan saya ditarik, itu bukan bermakna saya gagal, tetapi menunjukkan ada kepincangan dalam jabatan yang menjaga amanah,” katanya.

Dalam masa yang sama, dia turut menegur prestasi penghulu di kawasan itu yang didakwa sambil lewa menjalankan tanggungjawab.

"Balai Dengkil itu bukan tempat honeymoon. Kalau sekadar ambil gaji saja, lebih baik letak patung di situ.

"Kalau datang suka-suka, tak datang pun suka-suka, baik keluar saja. Rugi rakyat bayar cukai untuk gajikan orang macam ini,” tegasnya.

Bekas ketua kampung itu juga menuntut agar pihak berwajib menyelesaikan pembayaran elaun terakhirnya bagi bulan lepas kerana mendakwa masih menjalankan tugas menghadiri program dan jemputan rasmi walaupun jawatannya telah ditamatkan.

“Saya tuntut sebab buat kerja, bukan makan gaji buta. Harap YB Rizam Ismail (ADUN Sungai Air Tawar) dapat luluskan tuntutan yang tertunggak,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram