
SUDAH menjadi kebiasaan apabila seorang anak seni memilih untuk menceburi bidang lain selepas tidak lagi terkenal di kaca televisyen dengan dunia perniagaan menjadi pilihan utama.
Meskipun tidak mempunyai ilmu mendalam mengenainya, populariti diraih sepanjang bergiat dalam dunia seni sekurang-kurangnya dapat melariskan penjualan dan bisnes dijalankan.
Ini termasuk Shahfiez Shamsuri yang cukup dikenali selepas membawa watak Shah Rempit dalam francais Adnan Sempit serta beberapa filem lain di layar perak.
BACA LAGI: Bertemu legenda Brazil, Diana Danielle bawa 2 anak ke kem bola sepak di Jepun
Shah pernah dikenali selepas terlibat dalam francais filem Adnan Sempit kira-kira 10 tahun lalu.
Tetapi, selepas kali terakhir muncul dalam filem Wawa Semput yang ditayangkan pada 2014, pelakon tersebut dilihat seolah-olah terus sepi dari mulut pencinta filem tempatan.
Kesukaran meneruskan kariernya di kaca televisyen bagaimanapun tidak menghalangnya daripada mencari sumber rezeki baharu apabila dia kini sudah menjinakkan diri dalam dunia perniagaan.
Dalam sebuah perkongsian di laman Facebook peribadinya, Shah yang menetap di Ipoh, Perak memiliki tiga bisnes yang diusahakan dalam sebuah bangunan yang sama di negeri terbabit.
"Ramai sangat orang tanya, abang ada bisnes lain lepas tak lagi berlakon. Jadi, abang ada satu kafe, di tingkat dua ada gimnasium dan di atas sekali, abang ada buka 'gaming studio'.
"Jadi, kalau abang ada masa lapang lagi, abang akan habiskan masa reviu barangan yang orang hantar daripada barangan sebesar-besar produk. Selalunya, dapat barangan kesihatan untuk reviu," katanya.
Kejayaan perniagaan dijalankan bekas pelakon terbabit boleh dikatakan berpunca daripada jumlah pengikut di media sosial dengan seramai 257,000 pengguna mengikutnya di TikTok sementara lebih 71,000 yang lain di Facebook.
Angka berkenaan membolehkannya menerima permintaan untuk membuat ulasan berbayar (paid review) terhadap mana-mana produk yang mahu dipasarkan secara meluas.
Selain itu, fizikalnya yang cukup baik hasil kerja keras sepanjang terlibat dalam dunia lakonan membolehkannya membuka gimnasium untuk memberi tunjuk ajar kepada mana-mana pelanggan berminat.
Kejayaan Shah membuktikan anak seni masih boleh berjaya dalam dunia perniagaan kerana populariti diraih sepanjang berada di kaca televisyen menjadi satu medium untuk melariskan segala bisnes diperkenalkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram