
RAMAI ibu bapa hari ini semakin kreatif mencari peluang pendedahan awal untuk anak-anak, sama ada dalam bidang seni, akademik mahupun sukan.
Begitu juga dengan pelakon popular Diana Danielle yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan penuh buat kedua-dua anaknya yang kini semakin meminati sukan bola sepak.
Baru-baru ini, bintang filem Imaginur itu dilihat membawa cahaya matanya menyertai kem bola sepak di Jepun selain turut mendapat sentuhan dan tunjuk ajar legenda, Brazil Arthur Antunes Coimbra atau lebih dikenali sebagai Zico.
Anaknya, Muhammad dan Aurora kelihatan teruja bukan sahaja dapat menyertai sesi latihan intensif, tetapi juga berpeluang melihat sendiri ikon bola sepak dunia itu yang terkenal dengan gelaran The White Pele satu ketika dahulu.
Biarpun 'terbang' beribu batu jauh ke negara tersebut, Diana sama sekali tidak merasakan ia perkara sia-sia malah sentiasa gembira untuk menyokong minat anaknya itu.
"Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang ibu selain melihat anak-anaknya berkembang maju dengan hanya menjadi diri mereka yang terbaik.
"Bertemu legenda Zico, bengkel bola sepak dengan udara segar dan kanak-kanak membuat kenangan semuanya sebahagian daripada pengalaman yang cukup bermakna," kongsinya di laman Instagram.
Sekadar info, Diana sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor terkenal Farid Kamil pada 2012 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Muhammad dan Nur Aurora.
Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, Diana sentiasa menitikberatkan soal pendidikan serta perkembangan anak-anaknya selain gemar berkongsi momen bersama keluarga di media sosial, termasuk aktiviti santai, percutian dan program di kala masa senggang.
Usaha membawa mereka ke Jepun untuk menyertai kem bola sepak itu membuktikan komitmennya sebagai seorang ibu dalam masa sama usaha memberi pengalaman berharga kepada keluarga kecilnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram