
RUMAH fesyen seperti Louis Vuitton dan Longchamp kini melangkah keluar daripada dunia 'couture' untuk menuju ke arah rekaan dalaman.
Fesyen dan rekaan dalaman sebenarnya sudah lama saling menginspirasikan antara satu sama lain.
Warna serta corak yang muncul di pentas peragaan sering kali menjadi trend dalam pelancaran fabrik terkini, manakala bentuk perabot berunsur arca pula pernah diolah semula oleh pereka fesyen terkenal.
BACA LAGI: Tenang hadapi ragam emosi remaja, panduan ibu bapa kawal pergolakan tanpa konflik
BACA LAGI: Giorgio Armani, pemergian legenda fesyen Itali meninggalkan warisan abadi
Walaupun ada jenama yang sudah lama bermain dalam kedua-dua industri seperti Ralph Lauren, Hermès dan Tory Burch.
Mereka tidak benar-benar komited menghasilkan rangkaian penuh perabot, namun pada 2025 nampaknya membawa perubahan besar.
Dalam acara Salone del Mobile tahun ini, beberapa jenama fesyen terkenal memperkenalkan koleksi perabot dan aksesori rumah tersendiri, menandakan persilangan yang semakin jelas dengan dunia rekaan dalaman.
Louis Vuitton tampil dengan koleksi rumah komprehensif pertamanya, Louis Vuitton Home Collections, yang merangkumi segalanya daripada perabot arca hingga ke perkakasan meja berwarna-warni.
Dolce & Gabbana Casa pula mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju rekaan rumah dengan persembahan memukau yang menampilkan corak penuh warna ikonik mereka pada perabot dalam dan luar rumah, selain koleksi linen katil pertama jenama itu.
Pinggan Ivory Lily Dior.
Sementara itu, Longchamp berkolaborasi bersama pereka Perancis terkenal, Pierre Renart, menghasilkan koleksi perabot sulung termasuk bangku kulit Wave dan lapan kerusi kulit Ruban.
Jenama Itali Loro Piana pula bekerjasama dengan jenama perabot Dimoremilan untuk menghasilkan instalasi imersif di Salone yang memberi penghormatan kepada dunia perfileman serta rekaan era 1970-an dan 80-an.
Menurut Catherine Smith, Editor Gaya dan Pasaran VERANDA, kemasukan rumah fesyen besar ke dalam dunia rekaan dalaman menandakan perubahan dalam definisi kemewahan, yang kini merangkumi bukan sahaja pakaian dipakai, tetapi juga gaya hidup keseluruhan.
Sejak pandemik Covid-19, semakin ramai individu memberi perhatian terhadap rekaan kediaman sebagai cerminan cita rasa dan gaya peribadi.
Ia merupakan sesuatu yang mungkin mendorong jenama fesyen untuk mengembangkan sayap.
Smith juga menekankan bahawa kebangkitan platform media sosial lebih personal memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat lebih dekat kediaman figura berpengaruh dan gaya hiasan mereka.
Jenama fesyen mewah mengangkat rekaan dalaman ke tahap baharu dengan koleksi perabot dan aksesori rumah yang penuh gaya pada 2025.
Kesedaran terhadap trend kini bukan sekadar pada fesyen, tetapi juga dekorasi dalaman.
Katanya, "Dengan media sosial dan capaian yang luas, kita mendapat peluang untuk melihat kehidupan peribadi mereka termasuk cara mereka menghias rumah.
"Ia sumber inspirasi yang hebat, jadi mengapa jenama fesyen tidak mahu memanfaatkan peluang ini dan mencipta produk yang boleh menjadi sebahagian daripada rumah orang ramai?"
Selain jenama besar, beberapa jenama lain turut memperkenalkan koleksi aksesori rumah kecil yang menarik perhatian di Salone.
Loewe misalnya, mempersembahkan koleksi teko buatan tangan hasil kolaborasi 25 arkitek, artis dan pereka termasuk arkitek Britain, David Chipperfield.
Jenama fesyen itu juga sedang meneroka dunia tekstil dengan koleksi selimut dan kusyen, sama seperti The Row yang baru sahaja melancarkan koleksi barangan rumah pertamanya yang menampilkan linen kasmir.
Selimut campuran bulu dan alpaka Loewe.
Pinggan mangkuk dan perkakasan meja turut menjadi fokus utama jenama fesyen mewah.
Dior misalnya, mempersembahkan koleksi 'Ode to Nature' yang merangkumi pasu, lilin hiasan, mangkuk, dulang dan teko.
Pereka Emilia Wickstead pula menceburi bidang hiasan meja dengan koleksi China bercorak geometri klasik dan linen bersulam halus.
Smith menambah, terdapat kebangkitan semula ruang makan sebenar dan budaya majlis makan malam yang menjadikan hiburan di rumah lebih serius tahun ini.
Pinggan mangkuk kini menjadi laluan strategik bagi jenama fesyen kerana ia menggabungkan gaya, hiburan dan rekaan rumah dengan sempurna. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram