Giorgio Armani, pemergian legenda fesyen Itali meninggalkan warisan abadi


  • Gaya
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Giorgio Armani, pereka fesyen ikonik Itali meninggalkan legasi elegan dan abadi dalam dunia fesyen.

DUNIA fesyen kehilangan salah seorang tokoh paling berpengaruh apabila Giorgio Armani, pereka fesyen ikonik dari Itali, menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun.

Khabar duka itu diumumkan oleh Armani Group, syarikat yang menjadi simbol kejayaan beliau sejak hampir lima dekad lalu.

Lahir di Piacenza, Itali pada 11 Julai 1934, Armani pada asalnya tidak pernah menyangka dirinya akan menjadi raja dunia fesyen.

BACA LAGI: 'Kalau stamina tak cukup jangan masuk gelanggang', 6 strategi pikat hati wanita kaya di Malaysia

BACA LAGI: Visi hijau arkitek wanita Thailand ubah hutan konkrit Bangkok

Beliau memulakan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Milan, namun meninggalkan kursus tersebut sebelum tamat.

Selepas menjalani latihan ketenteraan, Armani mula bekerja di sebuah gedung beli-belah ternama, La Rinascente, sebagai penyusun tingkap pameran.

Dari sinilah benih cintanya terhadap dunia fesyen mula bercambah.

Perjalanan karier Armani berkembang pesat ketika beliau berkhidmat bersama jenama Nino Cerruti pada era 1960-an, yang mana beliau mula mencipta rekaan pakaian lelaki berbeza daripada kebiasaan.

Tahun 1975 menjadi detik bersejarah apabila Armani, bersama rakan dan pasangan perniagaan Sergio Galeotti, menubuhkan label Giorgio Armani.

Koleksi sulungnya menampilkan pakaian lelaki dan wanita yang menolak gaya bosan, sebaliknya memperkenalkan jaket serta sut tanpa struktur yang lebih santai, elegan dan minimalis.

Ia sesuatu yang terus menjadi 'signature' Armani di pentas fesyen dunia.

Armani bukan sekadar membina sebuah rumah fesyen, tetapi mencipta empayar.

Dari Emporio Armani hingga Armani Prive, dari haruman hingga ke dekorasi rumah, dari butik mewah hingga ke hotel lima bintang.

Jenamanya berkembang menjadi simbol kemewahan di Itali.

Apa yang menjadikan Armani unik ialah keberaniannya mengekalkan kebebasan.

Berbanding banyak fesyen besar yang dijual kepada pihak konglomerat, Armani memilih untuk berdikari, mengekalkan kawalan penuh terhadap syarikatnya.

Sumbangan beliau dalam membentuk budaya fesyen moden amat besar.

Pada era 1980-an, sut rekaan Armani menjadi lambang keyakinan wanita korporat, seiring kebangkitan golongan profesional wanita di pejabat.

Gaya rekaannya bukan sahaja memperhalusi bentuk tubuh, tetapi juga memberi kekuatan simbolik tentang kuasa dan elegan.

Dalam dunia hiburan, Armani dikenang sebagai perintis fesyen karpet merah moden dengan menaja selebriti seperti Richard Gere dalam filem American Gigolo serta ramai lagi bintang Hollywood termasuk Julia Roberts dan Leonardo DiCaprio.

Di sebalik kejayaannya, Armani terkenal sebagai seorang yang teliti dan berdisiplin.

Rakan sekerjanya menggambarkan beliau sebagai individu yang memperlakukan semua orang sama rata, mesra dengan generasi muda, namun tetap berpegang pada standard yang tinggi.

Walaupun sudah menjangkau usia emas, Armani tetap aktif, sering turun ke studio dan mengawasi setiap perincian rekaan.

Bahkan, menjelang ulang tahun ke-50 rumah fesyennya, beliau masih merancang untuk mempersembahkan koleksi terbaharu walaupun kesihatan semakin merosot.

Pada 4 September 2025, Armani meninggal dunia di Milan dalam suasana penuh damai, dikelilingi ahli keluarga serta orang terdekat.

Dunia fesyen segera menyampaikan penghormatan dengan Armani Group menyatakan bahawa mereka akan meneruskan legasi beliau "dengan cinta dan tanggungjawab. "

Armani juga sering menjadi pilihan bintang Hollywood seperti Cate Blanchett, Tom Cruise dan Julia Roberts untuk penampilan di karpet merah. 

Ruang berkabung umum turut dibuka di Armani Teatro, Milan, bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir.

Tokoh-tokoh ternama dunia fesyen seperti Donatella Versace, serta selebriti seperti Julia Roberts, Victoria Beckham dan Leonardo DiCaprio, menyifatkan Armani sebagai 'visionary', 'giant' dan 'legend'.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, turut mengungkapkan rasa duka dengan menyebut bahawa Armani telah menghiasi imej Itali dengan elegansi, kesederhanaan dan kreativiti yang tiada tandingan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram