
BANTUAN Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah inisiatif MyKasih mula dimanfaatkan penerima sejak ia dikreditkan menerusi MyKad pada 31 Ogos lalu dengan jutaan ringgit sudah dibelanjakan.
Meskipun beberapa aduan dibuat mengenai kelancaran sistem transaksi, pengguna yang layak seluruh negara masih teruja untuk menggunakannya bagi membeli barangan keperluan asas.
Namun, timbul pula beberapa isu baharu apabila bantuan SARA digunakan individu lain, termasuk dalam kalangan ahli keluarga kerana pembeli hanya perlu menunjukkan kad pengenalan semasa membuat pembayaran di kaunter.
BACA LAGI: [VIDEO] Dibuli senior, doktor murung berkurung dalam bilik bertahun-tahun di Tawau
BACA LAGI: Katanya berang kena tuntut cerai, lelaki tergamak ugut isteri, cekik anak di Tawau
Transaksi dibuat individu tidak dikenali itu di sebuah pasar raya sekitar Semporna. — Gambar hiasan
Baru-baru ini, tular sebuah kejadian di Semporna, Sabah apabila pengguna media sosial meluahkan kekecewaan selepas bantuan diterima sudah digunakan individu tidak dikenali.
Menerusi perkongsian di laman Facebook 8hannels, seorang pengikut menyatakan RM100 diterimanya sudah ditebus wanita berusia yang berbelanja sehingga bantuan disalurkan hampir kehabisan.
"Menurut gambar yang diperolehi daripada kamera sekuriti di pasar raya berkenaan, individu yang terlibat ialah seorang mak cik. Jumlah pembeliannya sebanyak RM98.65.
"Tetapi, pemilik kad pengenalan berkata, dia tidak pernah kehilangan kad pengenalan atau pinjamkannya kepada sesiapa pun. Dia juga sudah membuat laporan polis mengenai kejadian ini," tulisnya.
Pengadu menyatakan kad pengenalan miliknya tidak pernah tercicir atau dicuri.
Perkongsian itu dibuat berserta sekeping gambar memaparkan individu terbabit di kaunter pembayaran dengan maklumat disertakan menyatakan transaksi dibuat pada Jumaat.
"Pemilik kad pengenalan turut meminta bantuan orang ramai jika kenal mak cik terlibat, sila pesan dengannya untuk hubungi pemilik MyKad asal pada talian disertakan untuk membincangkan perkara berkenaan," tulisnya.
Ini bukanlah insiden pertama berkenaan bantuan SARA RM100 kerana dalam kejadian berlainan, seorang pengadu dari Selangor mendapati terdapat transaksi dibuat individu lain di Tawau, Sabah selepas kad pengenalannya tercicir semasa melancong ke negeri itu.
Hal tersebut sudah tentu menimbulkan kegusaran terhadap orang ramai yang melihat sistem MyKasih masih belum cukup lancar untuk menampung urusan jual beli dari jutaan penerima seluruh negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram