Selain SARA RM100, ini senarai 4 bantuan khas ibu bapa berkeluarga ramai terlepas pandang


  • Bonda
  • Khamis, 04 Sep 2025

Golongan keluarga berpendapatan rendah berpeluang memiliki pelbagai manfaat selain daripada bantuan SARA RM100.— The Star

DALAM keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, ibu bapa kini berdepan cabaran besar untuk menampung keperluan harian keluarga. 

Kenaikan harga barangan asas, kos pendidikan anak serta perbelanjaan kesihatan memberi tekanan tambahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Namun, ramai ibu bapa yang masih kurang cakna akan beberapa skim bantuan dan sumbangan kerajaan yang boleh memberi manfaat kepada golongan berkenaan sama ada dari segi kewangan mahupun keperluan keselamatan. 

BACA LAGI:  'Suami pernah tercampak keluar kerana beriba', ibu terapkan 3 anak duduk 'car seat' sejak bayi demi keselamatan

BACA LAGI: 'Kalau aku mati, siapa jaga anak isteri', sakit apendiks buat Zukiee kembali imbau pengorbanan arwah ibu

Selain Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 dimiliki rakyat baru-baru ini, terdapat beberapa lagi bentuk sokongan yang sebenarnya boleh dimanfaatkan ibu bapa, namun masih kurang diberi perhatian.

1. Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS)

Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor ini menawarkan bantuan RM300 sebulan dalam bentuk e-dompet bagi membeli barangan keperluan asas seperti makanan, minuman, kelengkapan bayi dan barangan sekolah di premis berdaftar.

Kelayakan hanya diberikan kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM5,000 serta mempunyai anak berusia 18 tahun dan ke bawah.

BINGKAS merupakan insentif khas di bawah kerajaan negeri Selangor.

 

Bantuan akan diberikan setiap bulan dalam tempoh setahun dan penerima boleh disemak semula untuk kelayakan pada tahun berikutnya.

Permohonan boleh dibuat melalui portal rasmi https://bingkasselangor.com.

2. Bantuan Kanak-Kanak (BKK) – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

BKK bertujuan membantu keluarga berpendapatan rendah yang menjaga kanak-kanak bawah usia 18 tahun.

- RM200 sebulan bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.

- RM150 sebulan bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 18 tahun.

- Had maksimum ialah sebanyak RM1,000 sebulan sekeluarga.

Permohonan boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) berhampiran dengan membawa dokumen sokongan seperti salinan MyKad, sijil kelahiran anak, penyata pendapatan dan bil utiliti.

Selain itu, permohonan juga boleh dihantar secara dalam talian melalui portal rasmi JKM di pautan https://ebantuanjkm.jkm.gov.my.

3. Subsidi Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak (MyCRS)

Tidak terhad kepada bantuan wang semata-mata, kerajaan turut memberi subsidi sehingga 50 peratus atau maksimum RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan bayi dan kanak-kanak kepada keluarga B40 dan M40.

Langkah tersebut dilihat penting bagi menggalakkan pematuhan penggunaan car seat serta mengurangkan risiko kecederaan dalam kemalangan jalan raya.

Permohonan boleh dilakukan melalui portal rasmi http://www.mycrs.gov.my/.

4. Skim Perlindungan Kesihatan Nasional MySalam

Skim ini diwujudkan bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana menangani kos rawatan penyakit kritikal serta mengurangkan beban kewangan keluarga ketika ditimpa musibah kesihatan.

Lima penyakit penyakit baharu yang kini dilindungi dalam MySalam 2025.

 

Manfaat perlindungan

- Bayaran sekali gus RM8,000 sekiranya disahkan menghidap salah satu daripada 45 jenis penyakit kritikal yang dilindungi.

- Elaun hospital RM50 sehari, maksimum 14 hari atau bersamaan RM700 dalam tempoh setahun.

- Perlindungan diberikan kepada golongan dewasa serta anak-anak yang berdaftar di bawah isi rumah penerima.

Semakan kelayakan boleh dibuat di portal rasmi https://www.mysalam.com.my.

Kesemua inisiatif yang diperkenalkan kerajaan jelas menunjukkan usaha berterusan untuk melindungi kebajikan rakyat, khususnya keluarga yang mempunyai anak kecil dan berpendapatan rendah. 

Dengan adanya bantuan dalam bentuk tunai, subsidi keselamatan serta perlindungan kesihatan, diharapkan ibu bapa dapat lebih tenang menguruskan kehidupan seharian tanpa terbeban sepenuhnya dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. 

Paling penting, setiap keluarga digalakkan menyemak  kelayakan masing-masing agar tidak terlepas peluang memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram