
KEMENTERIAN Kewangan (MOF) memberi jaminan bahawa penambahbaikan berterusan sedang dilaksanakan terhadap sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, MyKasih telah meningkatkan kapasiti sistem berkenaan serta memperkukuh proses penyelesaian masalah.
“Setiap hari, (MyKasih) menambah baik prestasi sistem dan menyelesaikan sebarang masalah bagi memastikan ia mampu menampung jumlah penerima yang semakin meningkat ketika membuat pembelian di pasar raya,” katanya pada sidang media mengenai SARA di Putrajaya pada Selasa.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Asyik offline, takkan nak tunggu sampai 31 Disember baru sistem SARA stabil?'
Johan berkata, apabila sistem MyKasih mula dipasang, kapasiti asas ditetapkan pada 5,000 transaksi seminit dan kini telah ditingkatkan hingga 15,000 transaksi seminit yang diyakini dapat menampung lonjakan pembelian.
"Setiap hari kami menyusun semula sistem dan meningkatkan kapasiti bagi memastikan jumlah transaksi yang tinggi dapat diuruskan. Sistem tidak tergendala, ia sentiasa berfungsi.
"Namun, apabila berlaku peningkatan mendadak, keupayaan pemprosesan menurun dan sebahagian transaksi mengambil masa lebih lama atau gagal disempurnakan," katanya.
Beliau berkata, pada hari pertama SARA bermula iaitu 31 Ogos lepas, sebanyak 895,000 transaksi berjaya diproses manakala pada hari kedua iaitu semalam, jumlah itu meningkat kepada 950,000 transaksi.
"Ini membuktikan sistem masih kukuh walaupun terdapat gangguan di beberapa terminal dan kedai," katanya.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican (kiri).
Johan berkata, MOF akan terus menambah baik keadaan serta kekal terbuka kepada pelbagai pilihan bagi memastikan sistem benar-benar stabil dan siap siaga terhadap permintaan memuncak pada minggu-minggu akan datang.
Selain itu, beliau berkata beberapa pasar raya turut mencadangkan langkah tambahan antaranya mengehadkan bilangan terminal aktif bagi mengurangkan jumlah transaksi serentak yang masuk ke sistem ketika lonjakan mendadak berlaku.
Johan mengulangi penerima SARA berdepan masalah barisan panjang dan kegagalan transaksi disebabkan oleh kapasiti sistem MyKasih yang tidak dapat menampung lonjakan permintaan mendadak dua hari lepas.
Beliau berkata, tiada isu pengimbasan MyKad atau terminal dan scanner atau di peringkat pasar raya atau kedai memandangkan semua petugas terlatih menggunakan sistem, malah tiada isu dengan hubungan telekomunikasi atau capaian telco.
"Isunya di peringkat sistem dan server MyKasih dari segi kapasiti transaksi yang dapat diproses," katanya.
Ditanya pelaksanaan bantuan lain selepas SARA, Johan berkata kerajaan akan lebih teliti untuk memastikan apa jua pelaksanaan bakal diperkenalkan dapat menampung keperluan dan memberi ruang yang mencukupi untuk menampung keperluan transaksi.
Johan turut menasihatkan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menebus bantuan memandangkan kredit RM100 sah hingga 31 Disember ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram