
KUMPULAN Hartal Doktor Kontrak mendedahkan seorang doktor pelatih sebuah hospital di Tawau, Sabah mengalami tekanan mental yang teruk sehingga hampir menamatkan riwayat hidup akibat dibuli secara berterusan di tempat kerja.
Menurut kumpulan itu di laman Facebook, individu yang dikenali sebagai Dr S menjadi mangsa buli oleh senior yang sama secara berulang kali.
“Layanan yang diterima begitu teruk sehingga beliau mengalami kemurungan mendalam dan mengasingkan diri di dalam bilik selama bertahun-tahun, sekali gus tidak mampu kembali bekerja dalam bidang perubatan,” katanya.
BACA LAGI: NFA tak bermakna kes serangan asid Faisal Halim tidak boleh disiasat lagi — Azalina
Manakala, si pembuli pula dilaporkan berhijrah ke luar negara dan kini mengikuti program latihan kepakaran.
Hartal Doktor Kontrak, yang melancarkan kempen #StopWorkplaceBullying tiga tahun lalu, menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil tindakan lebih serius bagi membantu mangsa buli seperti Dr S.
“Kami telah menyaksikan secara langsung kesan dahsyat buli di tempat kerja dalam sektor kesihatan awam.
"Oleh itu, kami menyokong sepenuhnya inisiatif Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang akan melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Klinik dan Hospital Kerajaan pada Oktober ini.
“Kami berharap buli dapat dihapuskan bukan sahaja dalam kementerian, malah di seluruh sektor di negara ini,” tambah mereka.
Selain itu, Hartal Doktor Kontrak turut memohon maaf kepada Dr S, keluarganya dan mangsa-mangsa buli lain yang tidak mendapat sokongan sewajarnya sebelum ini.
“Kami, Hartal Doktor Kontrak, memohon maaf atas kegagalan kami menyokong anda lebih awal. Harap maafkan kami,” kata kumpulan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram