
KEMENTERIAN Kewangan (MOF) mempertingkatkan kapasiti pemprosesan MyKasih daripada 5,000 kepada 15,000 kuiri seminit bagi memastikan kelancaran sistem.
Menerusi satu kenyataan, MOF menjelaskan, sistem itu dinaik taraf bagi memenuhi peningkatan hampir empat kali ganda berbanding kapasiti puncak sebelum ini
“Peningkatan jumlah transaksi sejak 31 Ogos 2025, menyebabkan sistem MyKasih menghadapi lonjakan trafik, mencecah lebih 2,000 transaksi yang diluluskan seminit, berbanding rekod terdahulu sekitar 540 transaksi seminit pada April 2025.
"Satu transaksi biasanya melibatkan beberapa permintaan sistem termasuk imbasan MyKad, bacaan item barangan dan pengesahan akhir," katanya.
BACA LAGI: Bekas klien Puspen nekad ubah diri, kini tawar khidmat gunting rambut dari rumah di Puchong
BACA LAGI: Ajar guna Canva, ChatGPT, EmpoweHER pacu usahawan wanita Johor kuasai dunia perniagaan
Justeru, menurut MOF, peningkatan sistem dijangka mempercepatkan proses transaksi dan meningkatkan keselesaan pengguna.
Dalam perkembangan sama, MOF memaklumkan lebih 2.9 juta orang telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam tempoh tiga hari, dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM192.4 juta di seluruh negara.
"Hari ketiga pelaksanaan Penghargaan SARA dan penyaluran SARA bulanan mencatatkan jumlah transaksi tertinggi setakat ini, dengan lebih 1.1 juta transaksi berjaya disempurnakan pada Selasa (2 September).
"Ini melibatkan nilai jualan RM75.3 juta setakat 10.30 malam, berbanding RM50 juta pada 31 Ogos 2025.
"Pada masa sama, kadar urus niaga yang berjaya juga meningkat kepada 95 peratus pada Selasa (2 September), berbanding 79 peratus pada 31 Ogos 2025," katanya.
Kementerian Kewangan menghargai sambutan menggalakkan daripada penerima. Maklum balas orang ramai akan terus menjadi rujukan penting dalam usaha menambah baik sistem agar lebih cekap dan mesra pengguna.
"Kredit Penghargaan SARA RM100 kekal sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara," tambah kenyataan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram