
JOHOR akan membina lintasan hidupan liar pertamanya tidak lama lagi di sepanjang jalan utama yang menghubungkan Kahang dan Mersing, kata Exco Kerajaan Negeri, Ling Tian Soon.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri itu berkata, jejambat tersebut akan dibina di sepanjang Laluan Persekutuan FT50, kawasan yang pernah berlaku beberapa kemalangan membabitkan hidupan liar.
BACA LAGI: Pelancong dari Malaysia paling ramai guna tren laju Whoosh hubungkan Jakarta-Bandung
BACA LAGI: Banyak perniagaan di Ipoh tutup awal, ada keperluan tambah aktiviti galak hiburan malam
“Kawasan yang juga dikenali sebagai Central Forest Spine (CFS) itu dikelilingi hutan dan menjadi sempadan antara hutan simpan Labis dan Mersing serta Kota Tinggi.
“Oleh itu, hidupan liar sering melintas jalan ini untuk bergerak antara dua kawasan hutan.
“Sebelum ini, rakaman video haiwan seperti harimau Malaya, gajah, tapir Malaya, harimau bintang dan lain-lain yang melintasi kawasan berkenaan menjadi viral,” katanya di Facebook selepas melawat tapak itu baru-baru ini.
Katanya, pembinaan lintasan khusus itu perlu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan hidupan liar.
"Jalan yang dinaik taraf itu akan menjangkau 1.275 kilometer, termasuk jambatan jejambat sepanjang 200 meter (m) berukuran 8m tinggi.
“Tumbuhan khas akan ditanam di bawah jejambat untuk menarik dan membimbing hidupan liar menggunakan struktur itu,” katanya.
Beliau berkata projek bernilai RM66 juta itu meliputi kajian awal, tanah, geologi, reka bentuk, penempatan semula infrastruktur, pembinaan jalan sementara dan jejambat itu sendiri.
Projek itu dijangka siap pada Februari 2028. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram