Bos Pet World menongkah arus demi 'anak bulus', ambil 'bold action' labur jutaan ringgit ketika Covid-19


  • Bisnes
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Choy menerajui Pet World dengan harapan untuk memberdayakan ekosistem tempatan dengan menyokong pembekal lokal. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

"SAYA rasa ini semua berlaku secara kebetulan,” ujar Choy Peng Yew mengukir senyuman, sambil mengenang kembali bagaimana beliau terlibat dalam industri makanan haiwan peliharaan.

Selepas menamatkan pengajian di Australia, Choy pulang ke tanah air dan memulakan kerjaya dalam bidang perakaunan.

Beliau berkhidmat sebagai juruaudit selama lebih tujuh tahun setengah sebelum berkecimpung dalam dunia keusahawanan yang datang pada saat yang tidak dijangka.

“Salah sebuah syarikat pengedaran menghadapi masalah kewangan ketika itu, jadi saya ambil keputusan untuk ambil alih entiti tersebut," katanya Ketua Pegawai Eksekutif Pet World itu kepada Majoriti.

BACA LAGI: Strategi Omnichannel antara punca FashionValet gagal, PAC kemuka syor tambah baik pelaburan Khazanah Nasional

BACA LAGI: Penghargaan SARA one-off boleh disemak, ramai terkejut ada baki RM500, tak tahu rupanya layak bantuan bulanan

Makanan haiwan peliharaan mendapat permintaan tinggi seiring dengan perubahan demografi yang menyaksikan ramai membela kucing dan anjing sebagai haiwan peliharaan. — Pet World

Melalui pengambilalihan tersebut, beliau turut mewarisi hak pengedaran bagi salah satu jenama terkemuka di pasaran sekali gus terbabit dalam segmen makanan haiwan peliharaan.

“Saya dapati ia sangat menarik kerana industrinya semakin berkembang,” ujarnya.

Perkara berkenaan diakui Choy yang menyifatkan kecintaan terhadap haiwan peliharaan bukan sekadar satu hobi, tetapi telah menjadi satu gaya hidup moden.

Dalam tempoh dua dekad yang lalu, kategori produk haiwan peliharaan telah mencatat pertumbuhan pesat, dipacu oleh peningkatan pendapatan per kapita (GDP) dan perubahan pola demografi.

“Tak dapat disangkal ramai mula mengisi kekosongan hidup dengan memelihara haiwan peliharaan.

"Malah ada yang sanggup berhabis demi memastikan 'anak bulus' mereka mendapat rawatan kesihatan serta pemakanan yang bagus.

"Sebab itulah saya teruskan bisnes ini dengan membina jenama Pet World dalam bidang pemakanan haiwan peliharaan," katanya.

Beliau beranggapan sektor haiwan peliharaan di Malaysia mungkin bukan pasaran terbesar di dunia, namun keperluan terhadap bekalan makanan haiwan tetap tinggi.

Interview with Pet World ceo, Choy Peng Yew. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Choy bermula sebagai seorang akauntan sebelum bergelar ahli perniagaan berjaya. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Menurutnya, sebahagian besar produk di pasaran Malaysia sebenarnya diimport dari luar negara.

“Kira-kira 90 peratus stok makanan haiwan di Malaysia diimport dari negara jiran, Eropah dan Australia,” jelasnya.

Jadi apabila pandemik melanda, boleh dikatakan banyak syarikat terjejas kerana rantaian bekalan global terganggu.

"Kami turut berdepan situasi sama apabila hanya ada sekitar 30 peratus bekalan.

"We are suddenly in the hot pants. Ini kerana kami bergantung 100 peratus kepada import sebelum pandemik.

"Situasi tersebut memaksa saya membuat keputusan drastik. I made a very swift decision, a very bold one,” kongsi Choy mengenai cabaran berdepan krisis kesihatan global itu.

Interview with Pet World ceo, Choy Peng Yew. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Choy berkata, beliau mengambil tindakan drastik melabur jutaan ringgit demi membangunkan fasiliti pengeluaran makanan haiwan sendiri. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Ketika kebanyakan perniagaan bergelut untuk bertahan dalam tempoh getir pandemik, Choy menongkah arus dengan membuat pelaburan besar bernilai RM50 juta untuk membangunkan fasiliti pengeluaran makanan haiwan peliharaan sendiri.

“Kami bukan sahaja lakukan dengan pantas, tapi juga dalam kelas tersendiri," tuturnya.

Fasiliti di Shah Alam itu beroperasi sepenuhnya secara automatik, dengan hanya sekitar 70 kakitangan di bahagian pengeluaran.

“Kami ada kapasiti untuk menghasilkan sehingga 72,000 tan makanan haiwan setahun,” tambah ahli perniagaan kelahiran Perak itu.

Apa yang membezakan kemudahan pengeluaran tersebut bukan hanya skalanya yang besar, tetapi juga komitmen terhadap kelestarian dan pembangunan tempatan.

“Fasiliti ini sangat mampan. Ia merupakan bangunan hijau,” jelasnya, merujuk kepada pendekatan mesra alam yang diterapkan sejak dari awal perancangan.

Selain Delizios, Pet World menerajui makanan kucing menerusi jenama popular iaitu ProDiet.

Kilang tersebut menggunakan 20 peratus tenaga solar serta dilengkapi sistem kawalan bau, bunyi dan habuk.

"Sebab itulah juga kawasan kejiranan yang berhampiran fasiliti tidak mengalami masalah pencemaran bau atau bunyi," katanya.

Pet World juga memberdayakan ekosistem tempatan dengan menyokong pembekal lokal.

Kini, 40 peratus daripada sumber daging dan kanji kami diperoleh secara lokal.

"Bahan mentah seperti jagung dari Banting dan beras perang dari Kedah turut menyokong ekonomi tempatan.

"Sisa pengeluaran juga tidak dibazirkan. Bahagian ayam seperti kepala, leher dan organ yang tidak dimakan manusia diproses menggunakan teknologi pencernaan enzim dari Jepun menjadi makanan haiwan berkualiti.

"Tulang pula dijadikan baja untuk ladang durian. Langkah ini bukan sekadar strategi perniagaan, tetapi juga satu bentuk sokongan langsung kepada petani dan pengusaha kecil tempatan yang sebelum ini mungkin tidak mendapat akses ke pasaran industri besar," jelasnya.

Delizios merupakan jenama makanan kucing kategori premium yang direka khusus bagi memenuhi keperluan nutrisi haiwan itu.

Sebagai seorang pencinta haiwan, beliau berkata, Pet World komited membangunkan makanan haiwan yang diformulasi secara saintifik dengan memberi tumpuan kepada kesihatan pencernaan, penjagaan kulit serta bulu dan keperluan nutrisi khusus.

Usahawan itu menerapkan pendekatan saintifik dan sofistikated dalam menghasilkan produk yang bukan hanya menyihatkan, tetapi juga terbukti memberi kesan positif terhadap kesihatan jangka panjang haiwan peliharaan.

“Kami jalankan penyelidikan bersama pihak akademik, bagi memastikan setiap formulasi memberi nutrisi terbaik untuk haiwan peliharaan,” jelasnya.

Pendekatan yang berpaksikan sains itu membolehkan syarikatnya menghasilkan makanan haiwan tempatan yang mampu bersaing dengan jenama antarabangsa dari segi kualiti dan keberkesanannya.

Terbaharu, Pet World mengeluarkan makanan kucing Delizios bertaraf premium dengan rangkaian makanan kering selain makanan dalam tin berbentuk broth, mousse dan jeli.

Selain Delizios, Pet World juga menerajui jenama ProDiet bagi makanan kucing dan ProBalance, SIMPLE serta Le Gourmet bagi makanan anjing. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram