Hanis Zalikha, Neelofa contoh ibu muda bijak, kongsi info bermanfaat, lindungi anak di media sosial


  • Bonda
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Hanis Zalikha dan Neelofa menjadi contoh selebriti yang bijak mengimbangi perkongsian momen keluarga di media sosial sambil melindungi privasi anak-anak.

DI era media sosial yang serba pantas ini, setiap momen bersama anak boleh dirakam dan dikongsi hanya dengan satu sentuhan skrin.

Namun, tidak semua ibu bapa memilih untuk mendedahkan kehidupan anak mereka secara terbuka.

Ada yang sedar, sekali gambar atau video dimuat naik, ia menjadi sebahagian daripada jejak digital yang sukar dipadam.

BACA LAGI: [VIDEO] Trend tanaman air, hiasan ringkas untuk udara lebih sihat di rumah

BACA LAGI: Tradisi bersulam kontemporari, perabot India serlah ciri kediaman konseptual masa kini

Dalam dunia yang penuh risiko fitnah, kecaman, dan salah tafsir, muncul segelintir selebriti yang menjadi contoh teladan kerana bijak mengekalkan keseimbangan antara berkongsi kebahagiaan keluarga dan melindungi privasi anak.

Antara yang sering menjadi bualan positif ialah Hanis Zalikha, ibu muda yang bukan sahaja bijak berfesyen dan berbisnes, malah terkenal dengan gaya 'smart parenting' di media sosial.

Walaupun kandungannya kerap memaparkan momen bersama anak-anak, Hanis sentiasa menjaga batas agar tiada imej atau situasi yang boleh memberi kesan negatif pada masa depan mereka.

Perkara itu diakui oleh aktivis masyarakat, Zuraida Noordin yang memuji pendekatan pelakon dan usahawan terkenal Hanis dalam menguruskan kandungan media sosial yang melibatkan anak-anaknya.

Menurut Zuraida, walaupun Hanis sering berkongsi momen kehidupan bersama dua cahaya matanya, Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah, beliau sangat berhati-hati dalam memastikan tiada kandungan yang boleh memberi kesan negatif kepada masa depan anak-anaknya.

"Hanis Zalikha antara contoh ibu muda bijak dan 'classy' di media sosial yang mengeluarkan konten 'smart parenting' kepada pengikutnya.

"Walaupun melibatkan anak-anak sejak bayi, beliau sangat menjaga batas supaya tiada perkara yang boleh membawa fitnah atau kecaman melampau daripada orang awam," tulis Zuraida di Threads.

Antara kandungan yang sering dikongsikan Hanis ialah aktiviti pembelajaran awal di rumah, detik perkembangan anak-anaknya, serta tip penjagaan dan disiplin yang santai tetapi berkesan.

Meskipun begitu, Hanis jarang mendedahkan maklumat peribadi yang terlalu terperinci atau memaparkan anaknya dalam keadaan yang boleh mengundang kontroversi.

Zuraida turut mengingatkan ibu bapa lain agar memikirkan kesan jangka panjang sebelum memuat naik kandungan anak di media sosial.

Katanya, perlindungan privasi anak harus menjadi keutamaan bagi mengelakkan risiko fitnah, manipulasi, atau kecaman awam.

Isu itu menjadi hangat susulan kes ibu kepada pelakon Anna Jobling yang didakwa membocorkan aib anak sendiri di media sosial selepas dikenakan injunksi berhubung dakwaan penderaan.

Kejadian itu mencetuskan perbincangan meluas tentang peranan ibu bapa dalam menjaga imej dan keselamatan emosi anak di platform awam.

Selain Hanis, Neelofa turut menerima pujian daripada warganet kerana sikapnya yang berhati-hati memaparkan anaknya, Muhammad Bilal, di media sosial.

"Neelofa pun saya suka, dia tak 'show off' anak dia sangat, hanya tunjuk sikit-sikit sahaja. Itu cara yang betul sebenarnya.

"Macam artis Korea, kita boleh tengok bagaimana mereka menjaga privasi anak, takut jadi bualan netizen," kata pengguna Threads, Nurhidayah Sidi.

Kesedaran itu menunjukkan bahawa selebriti mampu menjadi contoh kepada masyarakat dalam mengimbangi antara perkongsian momen keluarga dengan menjaga keselamatan mental dan maruah anak-anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram