SEBANYAK 1,384 data individu mangsa banjir didakwa bocor melalui sistem yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Perkara tersebut didedahkan oleh seorang pempengaruh, Pendakwah Teknologi di Facebook miliknya pada Sabtu.
Individu berkenaan mendakwa kebocoran data itu melibatkan senarai nama penuh dan nombor kad pengenalan mangsa-mangsa banjir.
"Saya nak mohon jasa baik pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyemak sistem InfoBencanaJKM https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index secepat mungkin kerana sistem tersebut secara tidak sengaja memaparkan senarai penuh individu yang menjadi mangsa banjir.
"Antara maklumat yang dipaparkan adalah nama penuh dan nombor kad pengenalan," tulisnya.
Individu berkenaan turut berkongsi beberapa gambar yang memaparkan data-data mangsa banjir di beberapa negeri.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna warga maya terkejut dengan kelemahan sistem JKM itu.
Malah ada yang cuba mencari sendiri maklumat data mangsa-mangsa banjir berkenaan.
"Tahniah, kerajaan dan agensi yang terlibat. Anda telah memudahkan kerja scammer," kata Afiq Izwan.
"Human error atau memang berlaku kecuaian yang disengajakan?," persoal Mohd Norhisam Abdullah pula.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh JKM berhubung isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram