
TERLALU teruja berkongsi momen harian di media sosial tanpa berfikir panjang boleh mengundang bahaya.
Itulah peringatan daripada usahawan terkenal dan personaliti rancangan realiti TV, Lori Greiner, yang menasihati orang ramai agar lebih bijak mengawal kandungan yang dimuat naik di dunia maya.
Menurutnya, ramai tidak menyedari bahawa perkongsian kecil yang dianggap boleh membuka ruang kepada penjenayah untuk mengambil kesempatan.
Antara perkara elak dikongsi di media sosial:
1. Pemandangan luar rumah, lokasi kediaman sebenar
Gambar pemandangan dari tingkap rumah, papan tanda jalan, nombor bangunan atau mercu tanda berdekatan kediaman boleh mendedahkan alamat anda secara tidak langsung.
Penjenayah siber atau penghendap (stalker) hanya perlu sedikit maklumat untuk mengenal pasti lokasi tepat.
Dalam dunia digital hari ini, sekeping gambar sahaja sudah cukup untuk menjejaki seseorang.
2. Rutin harian, jadual tetap
Elak berkongsi aktiviti harian secara konsisten seperti waktu ke gim, laluan jogging setiap pagi atau waktu keluar bekerja.
Perkongsian sebegitu sebenarnya memudahkan orang asing meramal bila anda berada di rumah dan rumah ditinggalkan kosong.
Malah, ia juga meningkatkan risiko keselamatan peribadi kerana pergerakan boleh dikesan dengan mudah.
3. Maklumat kewangan peribadi
Ada segelintir yang suka muat naik tangkapan skrin slip gaji, jumlah bonus tahunan atau baki akaun bank dengan tujuan untuk berbangga.
Tindakan itu sangat berisiko kerana ia boleh membuka peluang kepada penipuan kewangan, kecurian identiti dan serangan siber.
Apa sahaja maklumat kewangan sepatutnya kekal sebagai rahsia peribadi, bukan bahan tontonan umum.
4. Perancangan percutian, kiraan hari cuti
Mengumumkan tarikh percutian lebih awal atau membuat countdown di media sosial mungkin nampak menyeronokkan, namun ia sama seperti memberitahu pencuri bahawa rumah anda akan ditinggalkan kosong dalam tempoh tertentu.
Penjenayah harta benda sering menjadikan maklumat ini sebagai peluang untuk menceroboh kediaman tanpa disedari.
5. Status mencari kerja, tempat tinggal
Menguar-uarkan anda sedang mencari kerja atau rumah sewa, lebih-lebih lagi jika dinyatakan bahawa anda tinggal seorang diri boleh menarik perhatian individu berniat jahat.
Ia bukan sahaja menjejaskan privasi malah membuka ruang kepada eksploitasi dan penipuan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Greiner menegaskan, kebocoran maklumat peribadi di media sosial sering kali berpunca daripada kelalaian diri sendiri.
“Kadang-kadang kita tidak sedar, satu hantaran ringkas sudah cukup untuk memberi ruang kepada penjenayah masuk ke dalam hidup kita,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram