Rak khusus barangan SARA mudahkan pengguna, elak item kena letak tepi di kaunter bayaran


  • Bisnes
  • Khamis, 04 Sep 2025

Rak khusus barangan SARA RM100 memudahkan pengguna membuat pembelian. — Gambar hiasan/ Jalal Misai

PENEBUSAN kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 di kedai-kedai tertentu mendapat sambutan amat menggalakkan hingga ramai pembeli terpaksa beratur panjang, lebih-lebih lagi apabila sistem MyKasih tergendala ketika ini akibat lonjakan pengguna.

Lebih menyedihkan, dalam situasi ini, ada pembeli terutama warga emas yang terpaksa letak ketepi barang yang diambil gara-gara tersalah ambil.

Ada juga situasi lain apabila pembeli mengambil barangan yang tidak termasuk dalam kategori yang dibenarkan.

BACA LAGI: Mydin lanjut operasi sampai 1 pagi mudahkan pelanggan tebus SARA RM100

BACA LAGI: Kasihan penerima STR bulanan kena 'berebut' tebus SARA gara-gara MyKasih offline

“Masalah sungguh. Barang yang terpilih saja boleh beli. Warga emas selalu tersalah ambil, jadi kesian sebab kena letak balik,” kata Siti Hajar Ariffin di Facebook Penang Kini.

Namun begitu, ada kedai seperti Eco Shop yang mengambil inisiatif lebih mesra pelanggan.

“Yang nak tebus SARA RM100 tu, boleh juga ke Eco Shop. Mereka dah siapkan rak khas untuk barangan SARA saja,” kata Jalal Misai yang berkongsi pengalamannya di media sosial.

Di Eco-Shop, pihak pengurusan menyediakan rak khas yang mempamerkan hanya barangan yang layak dibeli menggunakan SARA.

Inisiatif itu mungkin nampak biasa-biasa, namun ia memudahkan pengguna, terutama golongan rentan, membuat pilihan tanpa rasa keliru atau kecewa di kaunter pembayaran kelak.

Langkah proaktif seperti rak khas seharusnya diperluas agar penebusan bantuan menjadi lebih cekap dan benar-benar memberi impak kepada penerima.

Selain itu, lebih banyak kaunter bagi transaksi SARA jika perlu disediakan apabila penyedia sistem MyKasih dapat menstabilkan platform tersebut.

Penambahan bilangan terminal dan pelanjutan waktu operasi juga akan mengurangkan kelewatan sistem serta mempercepatkan barisan. 

Pada Rabu, dilaporkan lebih 2.9 juta rakyat Malaysia membeli barangan keperluan menggunakan bantuan RM100 SARA dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM192.4 juta di seluruh negara dalam tempoh tiga hari pertama pelaksanaannya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram