[VIDEO] 'Apam balik sedap dooh', 3 influencer luar negara kongsi makanan Malaysia kegemaran


  • Cinta
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Tiga pempengaruh antarabangsa seronok berkongsi pengalaman menikmati pelbagai makanan popular Malaysia bersama.

MALAYSIA sememangnya terkenal sebagai syurga makanan dan reputasi itu sekali lagi disahkan oleh tiga pempengaruh wanita antarabangsa yang kini menetap di negara ini iaitu @seonma_shin dari Korea Selatan, @risa.yamanaka_official dari Jepun dan @alanaspinktravels dari Scotland.

Dalam satu video, mereka berkongsi pilihan makanan kegemaran masing-masing, sambil menceritakan pengalaman menarik ketika mencuba juadah tempatan tersebut.

Bagi @seonma_shin, kehadirannya di Malaysia bukan sekadar lawatan kerana pempengaruh asal Korea Selatan itu kini menetap di sini selepas berkahwin dengan lelaki tempatan dari Sarawak.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari pangsapuri moden 'tiada jiwa', Sonam ubah, hiasi dengan karya seni unik dari serata pelusuk dunia

BACA LAGI: Renovasi berakhir dengan ruang bawah tanah, apresiasi objek 'luxe' bangkitkan suasana 'cosy'

Di media sosial, khususnya Instagram, Seonma banyak berkongsi tentang makanan jalanan, menu tradisional dan pengalaman unik meneroka kulinari Malaysia.

Antara yang menjadi kegemarannya termasuk nasi ayam, asam laksa, teh tarik kurang manis, pisang goreng, durian dan char kuetiau pedas.

Bagi sarapan pula Seonma cenderung memilih kaya toast bersama telur rebus.

Turut sama ialah @risa.yamanaka_official, pempengaruh Jepun yang kini menetap di Malaysia selepas berkahwin dengan lelaki tempatan berbangsa Cina.

Kehidupan dua budaya itu banyak mempengaruhi kandungannya di media sosial, yang mana Risa sering berkongsi tentang gaya hidup keluarga, pengalaman menarik antara Jepun dan Malaysia, serta makanan kegemaran yang ditemuinya di sini.

Antara pilihannya ialah Nasi Lemak Burung Hantu, asam laksa, Milo dinosaur, pisang goreng, char kuetiau dan tidak ketinggalan roti canai, yang menurutnya pasti disukai masyarakat Jepun.

Sementara itu, @alanaspinktravels dari Scotland mengikuti jejak sama apabila berkahwin dengan lelaki tempatan Melayu dan memeluk Islam.

Kini menetap di Malaysia, Alana aktif memuat naik kandungan POV suami isteri, selain travel dan gaya hidup.

Beliau juga pernah bekerjasama dengan pelbagai jenama ternama antarabangsa dan tempatan seperti Ford dan Variante.

Pilihan makanannya cukup meriah seperti nasi lemak, asam laksa, Milo, durian, char kuetiau dan pencuci mulut tempatan seperti cendol dan ais kacang.

Selain itu, Alana juga memuji kesedapan apam balik menggunakan loghat Kelantan 'sedap dooh' yang mengambarkan beliau juga mendalami bahasa dan budaya di negara ini.

Menariknya, meskipun datang dari latar budaya berbeza, ketiga-tiga mereka sependapat dalam beberapa perkara.

Asam laksa dan char kuetiau disebut berulang kali antara hidangan paling sedap di Malaysia manakala durian kekal sebagai buah eksotik dinanti setiap musim.

Dengan variasi makanan yang begitu luas, tidak hairanlah Malaysia terus menjadi destinasi pilihan bukan sahaja untuk melancong, tetapi juga untuk menetap.

Ini terutamanya bagi mereka yang akhirnya jatuh cinta bukan hanya pada budaya, tetapi juga pada orangnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram