Bunga tangan eksotik, dekorasi Nusantara Jawa, Melayu, Baba serlah perkahwinan klasik di 'istana lama' Janda Baik


  • Hias
  • Sabtu, 23 Ogos 2025

Shahera dan suami (gambar kiri) diraikan dalam majlis perkahwinan berkonsepkan Melayu klasik di Janda Baik, Pahang. — Gambar/Azizul Azman & Sentralismo

PADA saat ramai pasangan muda memilih tema moden dan glamor untuk majlis perkahwinan, pempengaruh Instagram Shahera Zahari, tampil berani dengan sesuatu yang berbeza.

Dikenali dengan perkongsian tentang kesihatan diri, gaya hidup dan kecantikan, Shahera menjadikan hari bahagianya sebagai sebuah pentas untuk menghargai akar budaya, menghidupkan semula warisan lama dan dalam masa sama mencipta pengalaman perkahwinan yang penuh jiwa.

Baginya, perkahwinan bukan sekadar tentang pakaian indah atau lokasi eksklusif, tetapi sebuah perjalanan untuk menjejak asal-usul serta memberi penghormatan kepada generasi terdahulu.

BACA LAGI: 'One of the greatest joys in my life', Zahra Aileen pelengkap hidup Sarah Hildebrand, suami

BACA LAGI: [VIDEO] Hakim 'penyayang' meninggal dunia, 5 kes wanita, ibu tunggal kendalian Caprio sarat empati, pertimbangan

Bersama pasangan hidupnya, Dinie Suhaimi, 29, konsep The Lost Princess of Javanese dipilih sebagai teras utama majlis bagi membawa tetamu seolah-olah kembali ke zaman gemilang Melayu klasik dengan sentuhan segar yang berjiwa tradisi.

"Inspirasi utama saya datang daripada akar Jawa saya, digabung dengan elemen Melayu-Baba daripada keluarga suami.

"Kami mahu memberi penghargaan kepada kedua-dua asal-usul kami," kata Shahera, 31,  kepada Majoriti.

Lokasi pilihan pasangan ini ialah istana lama di Sentosa, Janda Baik, Pahang yang berusia ratusan tahun, memberikan suasana kampung Melayu lama cukup autentik.

Shahera memilih hiasan minimalis kerana yakin keindahan lokasi itu sudah cukup menawan, diserikan dengan elemen mesra alam, buah-buahan dan sayuran segar dijadikan perhiasan dan buah tangan buat tetamu.

"Tiada pembaziran. Semua tetamu pulang dengan sebahagian daripada hiasan," katanya.

Shahera (kiri) dan Dinie menyulam cinta dalam majlis berkonsepkan The Lost Princess of Javanese. — Instagram/@shaherazahari

Walaupun mengakui banyak keputusan dipandu oleh dirinya, Shahera tidak menafikan peranan besar Dinie.

"Dia banyak beri pandangan tentang logistik dan teknikal, saya pula menterjemahkan idea suasana.

"Akhirnya, dia akan beri kata putus. Selebihnya, katanya dia percaya dengan cita rasa saya," ujarnya.

Namun, soal pakaian pengantin lelaki sepenuhnya terletak pada Dinie.

Beskap moden hasil rekaan Kraton, baju Melayu linen tempahan khas daripada Omar Ali, dan sampin tenun Terengganu melengkapkan gaya pengantin lelaki.

Tetamu begitu teruja dengan elemen klasik, terutama air soda Long Chan yang membangkitkan nostalgia. — Instagram/@shaherazahari

Bagi Shahera, konsep perkahwinan mestilah menyentuh semua elemen:

  • Lokasi: Istana lama dan suasana kampung.
  • Hiasan dan pelamin: bercirikan Nusantara
  • Busana: Rekaan tradisional moden daripada nama-nama besar seperti Toton dan Kraton.
  • Bunga tangan: Bunga eksotik
  • Muzik: Keroncong Jawa-Bali, biola dan piano.
  • Makanan: Lauk-pauk klasik Melayu dihidang atas daun pisang, lengkap dengan ulam, sambal belacan dan sirap selasih.
  • Snek dan hidangan kegemaran tempatan: Aiskrim gula melaka, cendol, kambing bakar, goreng pisang, kuih-muih tradisional, hingga ke air soda klasik Long Chan.

Shahera tampil anggun dalam busana rekaan Toton yang menonjolkan siluet elegan.  — Instagram/@shaherazahari

Bagi Dinie, saat paling mengesankan ialah ketika selawat taslim dialunkan sebelum berarak bersama orang tersayang.

Manakala Shahera pula, detik "Waktu Keemasan" yang dimainkan dengan biola dan piano menjadi momen paling indah.

"Perasaan ketika itu bercampur, gembira, terharu, sayu, bangga, lega semuanya serentak. Dalam hati hanya terlintas, inilah dia."

Persembahan muzik keroncong Jawa-Bali diselang-seli biola dan piano menghidupkan majlis. — Instagram/@shaherazahari

Tetamu begitu teruja dengan elemen klasik, terutama air soda Long Chan yang membangkitkan nostalgia.

Pemakaian kebaya lama, capal serta buah tangan daripada hiasan menjadikan majlis itu lebih bermakna.

"Memang impian kami untuk meraikan cinta, namun bukan hanya cinta kami, tetapi juga cinta yang membentuk siapa kami hari ini.

"Dari restu ibu bapa, hikmah datuk nenek, warisan leluhur, hingga sokongan jenama tempatan yang bersama menjayakan visi ini.

"Moga semua yang hadir merasai cinta yang kami simpan erat di hati," luah Shahera penuh gembira.

Selain keindahan lokasi dan busana, antara elemen paling mencuri tumpuan dalam perkahwinan Shahera ialah penggunaan hasil bumi tempatan sebagai hiasan. 

Pisang, epal, tomato, nenas dan buah naga bukan sekadar dijadikan dekorasi di meja jamuan, malah turut menghiasi pelamin dan ruang santapan dengan gaya kreatif. 

Pilihan itu bukan sahaja menambah warna ceria dan suasana segar, malah menepati hasrat Shahera untuk memastikan setiap dekorasi mempunyai fungsi sama ada sebagai hiasan atau buah tangan buat tetamu.

Lebih menarik, bunga tangan Shahera turut menjadi buah mulut tetamu. 

Jika kebiasaannya pengantin memilih jambangan bunga mawar atau tulip, Shahera tampil berani dengan gubahan bunga eksotik yang diselitkan bersama petai segar. 

Gabungan luar biasa itu memberi simbolik kepada identiti Nusantara, sekali gus mengangkat hasil tempatan sebagai lambang keunikan budaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram