
DI sebalik semangkuk cendol sejuk berais yang dijual di Persiaran Pertahanan, Taman Melati, Kuala Lumpur, tersembunyi kisah kasih sayang dan pengorbanan ibu kepada pengusahanya, Ahmad Nizam Noh.
Sejak 20 tahun lalu, pengusaha gerai Nizam Cendol Goncang itu masih mengekalkan harga RM1 bagi semangkuk cendol yang dijualnya.
Bagi Ahmad Nizam, manisan yang sedap dan menyegarkan itu bukan sekadar pencuci mulut sebaliknya legasi resipi arwah ibu.
BACA LAGI: Program amal kutip lebih RM200,000 cetus minat graduan politeknik berniaga, kini tauke kedai wafel
Ahmad Nizam menunjukkan mi bandung dan cendol yang menjadi hidangan paling laris di gerainya. — Low Lay Phon/The Star
"Saya tak tahu langsung buat cendol. Tapi semuanya arwah ibu yang ajar.
"Malah idea untuk berniaga cendol juga diilhamkan olehnya.
"Daripada resipi, teknik pembuatan hinggalah harga, semua datang daripada arwah ibu. Dia suruh saya jual (cendol) RM1 dan saya masih kekalkan harga itu hingga sekarang," katanya.
Bermula daripada motosikal tiga roda, perniagaan Ahmad Nizam di Persiaran Pertahanan kekal menjadi tempat persinggahan penduduk setempat yang gemarkan rasa cendolnya.
"Kami juga ada pelanggan pelajar sekolah. Saya teringat mak saya dulu pun suka tengok budak-budak makan cendol dia.
"Kalau saya naikkan harga, mungkin mereka tak mampu," ujarnya yang sudah 13 tahun mengendalikan gerainya.
Lebih menarik, Ahmad Nizam bukan sahaja mengekalkan resipi dan harga, malah cara penyediaannya juga masih mengikut apa yang diajarkan arwah ibunya.
Selain cendol RM1, terdapat variasi lain seperti cendol kacang, pulut dan juga ais krim. —Low Lay Phon/The Star
Asas cendol ini dihasilkan daripada campuran gula melaka, gula perang India, gula perang tempatan dan pandan, yang menghasilkan rasa seakan-akan karamel.
"Gula disediakan pada malam sebelumnya.
"Prosesnya mengambil masa antara empat hingga lima jam. Itu yang menjadikan rasa cendol kami berbeza.
"Kami juga campurkan santan asli dengan santan sawit untuk beri rasa lebih lemak dan pekat," katanya.
Cendol biasa dijual pada harga RM1 semangkuk, manakala variasi lain seperti cendol kacang, pulut dan juga ais krim, boleh mencecah RM10 bergantung kepada saiz dan jenis topping.
Walaupun cendol menjadi tarikan utama, pelanggan tetap Ahmad Nizam mengunjungi gerainya kerana keenakan mi bandung Johor.
Dimasak dengan udang geragau, versi mi bandung Ahmad Nizam menawarkan kuah pekat yang kaya dengan rasa dan dihidangkan bersama telur.
Kuah pekat yang kaya dengan rasa udang geragau memberikan kelainan kepada mi bandung di gerai Ahmad Nizam. — Low Lay Phon/The Star
Ahmad Nizam mengakui, mi bandungnya pernah tidak mendapat sambutan sebelum ini, namun satu ulasan makanan telah mengubah segalanya.
“Masa saya mula letak mi bandung dalam menu, sambutan agak biasa dan ia berlarutan selama dua ke tiga tahun.
Tapi dua tahun lepas, ada satu reviu makanan yang tular dan sejak itu, permintaan terus melonjak. Saya sangat bersyukur,” katanya.
Pelanggan juga boleh menikmati hidangan lain yang menyelerakan seperti bihun sup dan sup daging bersama nasi dan telur.
Gerai Nizam Cendol Goncang dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam, setiap Selasa hingga Ahad. — The Star/ ADANI ZAIDI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram