Guna 2,000kg MD2 seminggu, resipi inovatif isteri manfaatkan isi, jus dan serat buah di kafe Nanas Montel Serdang


  • Bisnes
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Fifi Norbaizura (kiri) dan Mohd Azli (kanan) menggunakan pelbagai komponen nanas dalam makanan dan minuman yang dijual di kedai mereka. — AZMAN GHANI/The Star

TERLETAK di dalam kawasan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di Serdang, Selangor, terdapat sebuah kafe yang mengkhususkan hidangan berasaskan nanas.

Pelanggan bukan sahaja boleh menikmati buah segar, malah berpeluang merasai pelbagai sajian seperti makanan, snek, pencuci mulut dan minuman.

Kafe Nanas Montel, yang diusahakan oleh QAF Foods (Malaysia), menyajikan pelbagai menu dan minuman berasaskan buah tropika itu menggunakan resipi yang dibangunkan sendiri.

BACA LAGI: Cendol RM1 ilham arwah ibu, jadi resipi bertahan niaga 20 tahun di Taman Melati

BACA LAGI: Jadi persinggahan kerabat diraja, Warung PagiPagi 'port healing’ lepak sampai larut malam di Bukit Persekutuan

Street Grub interview/ food review at Cafe Nanas Montel, Serdang on June 12.–AZMAN GHANI/The Star

Kafe Nanas Montel menggunakan sehingga dua tan nanas setiap minggu. — AZMAN GHANI/The Star

“Kami hanya menggunakan nanas varieti MD2. Varieti ini terkenal dengan rasa manis, warna kuning keemasan, saiz seragam dan kandungan vitamin C yang tinggi,” kata pemilik kafe dan syarikat QAF Foods, Mohd Azli Abdol Mihat.

Beliau berkata, varieti MD2 itu disyorkan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), agensi yang bertanggungjawab membangunkan industri nanas tempatan.

“Nanas MD2 mengambil masa kira-kira 14 bulan untuk ditanam dan dituai. 

"Saya bekerjasama dengan lebih 15 ladang di seluruh Semenanjung Malaysia bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.

Mohd Azli menyifatkan varieti MD2 sebagai versi Musang King' dalam dunia nanas kerana kualitinya.

Kafe itu juga sesekali menjual nanas jenis Yan Kee dan Morris, bergantung kepada stok.

Kafe Nanas Montel menggunakan sehingga dua tan (2,000 kilogram) nanas setiap minggu, dan jumlah itu boleh meningkat dua kali ganda sekiranya terdapat acara di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang terletak berdekatan.

Street Grub interview/ food review at Cafe Nanas Montel, Serdang on June 12.–AZMAN GHANI/The Star

Karipap dan popiah berinti nanas antara menu snek yang menjadi kegemaran pelanggan. — AZMAN GHANI/The Star

Menurut Mohd Azli, resipi hidangan di kafe itu dibangunkan oleh isterinya, Fifi Norbaizura Mohd Salim.

“Kami menggunakan pelbagai komponen nanas dalam makanan dan minuman kami.

"Kami kiub dalam snek, ekstrak dalam kopi, sehinggalah serat dan jus nanas dalam aiskrim,” katanya.

Antara menu paling laris di kafe ini adalah snek seperti karipap nanas dan popiah berinti kiub nanas yang dijual pada harga RM7 (set lima ketul).

Pencuci mulut yang segar dan menyejukkan juga menjadi kegemaran pelanggan lebih-lebih lagi pada hari yang panas.

Selain dalam bentuk aiskrim (RM6), minuman kisar dan float nanas juga boleh didapati pada harga RM10.

Menu utama yang menggabungkan nanas pula termasuk nasi lemak dan nasi ayam penyet menggunakan sambal nanas serta nasi goreng nanas berharga antara RM5 hingga RM12 sepinggan.

Jus nanas pula dijual pada harga RM10 sebotol dan RM6 secawan.

Minuman menyegarkan tersebut diperah sejuk (cold-pressed) tanpa sebarang tambahan gula.

Street Grub interview/ food review at Cafe Nanas Montel, Serdang on June 12.–AZMAN GHANI/The Star

Nasi lemak dan nasi ayam penyet menggunakan sambal nanas serta nasi goreng nanas merupakan hidangan utama di kafe ini. — AZMAN GHANI/The Star

Bagi pelanggan yang suka mencuba sesuatu yang luar biasa, boleh mencuba kopi nanas yang dihidangkan panas (RM6) dan sejuk (RM7).

Bagi yang kurang meminati nanas, kafe itu turut menyediakan beberapa menu biasa seperti nasi goreng kampung, nasi goreng ayam dan kuetiau goreng.

Nanas MD2 segar dengan harga RM8 sekilogram juga turut dijual dan perkhidmatan memotong nanas turut disediakan.

Ditanya mengenai nama 'montel', Mohd Azli secara berseloroh berkata, ia sebenarnya merujuk kepada saiz badannya suatu ketika dahulu.

Dia yang kini berusia 50 tahun, bagaimana tak lagi 'montel' kerana sudah berjaya menurunkan berat badan.

Terletak di kawasan redup yang dipenuhi pokok dan menghadap tasik, kafe itu cukup santai untuk para pelanggan menjamu selera sambil menikmati pemandangan.

Menurut Mohd Azli, konsep kafe itu adalah sebagai tempat untuk keluarga dan rakan-rakan berkumpul dan menikmati hidangan bersama.

Street Grub interview/ food review at Cafe Nanas Montel, Serdang on June 12.–AZMAN GHANI/The Star

Suasana redup dipayungi pokok merimbun menjadikan kafe ini cukup santai untuk dikunjungi pelanggan. — AZMAN GHANI/The Star

Pada hari bekerja, pelanggan kebanyakannya terdiri daripada mereka yang bekerja dalam lingkungan 10 kilometer, termasuk dari Putrajaya, Cyberjaya dan Seri Kembangan.

“Saya bekerjasama rapat dengan Mardi, yang juga pemilik tanah di mana kafe ini beroperasi.

"Saya perlu mematuhi garis panduan dan prosedur berkaitan pengurusan sisa, pengendalian makanan dan hal-hal operasi lain,” jelasnya.

Beliau merancang membuka cawangan kedua yang lebih besar di dalam kawasan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang menjelang akhir tahun ini.

Mohd Azli terbuka untuk mengembangkan model perniagaan kafe ini sama ada melalui kerjasama, francais, kiosk atau restoran di medan selera dan pusat beli-belah.

Kafe Nanas Montel dibuka setiap hari Selasa hingga Ahad, dari 9 pagi hingga 7 malam dan ditutup pada Isnin, kecuali jika Isnin jatuh pada cuti umum. — The Star/ JADE CHAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram