
WANITA berusia 41 tahun yang cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada 31 Ogos kini dirujuk kepada Hospital Bahagia.
Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Noor Hisam Nordin berkata, wanita itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemantauan selepas tempoh remannya tamat.
Tempoh remannya tamat pada Rabu.
BACA LAGI: Ujian urin negatif, wanita cuba dekati Sultan Nazrin direman 3 hari
"Siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan sudah selesai, dengan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya peringkat negeri.
"Kertas siasatan kemudiannya akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara pada Khamis untuk mendapatkan arahan seterusnya," ujarnya dalam satu kenyataan.
Wanita tersebut dihantar ke Hospital Bahagia selepas didapati mempunyai rekod berkenaan psikiatri.
Pada 31 Ogos, wanita itu cuba menghampiri Sultan Nazrin dan ingin memeluknya semasa lagu negeri Perak sedang dimainkan.
Tindakan itu berjaya dihalang oleh pengawal keselamatan dengan Sultan Nazrin kemudiannya meneruskan acara serta turun bertemu dengan rakyat yang hadir menyaksikan sambutan tersebut. — The Star/IVAN LOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram