Takut sebab langgar kenderaan pegawai tentera, anggota TUDM 'hilang' rupanya bersembunyi di rumah teman wanita


  • Kes
  • Rabu, 03 Sep 2025

Muhammad Amar dilaporkan hilang sejak 24 Ogos kini ditemui selamat.

ANGGOTA Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang sejak 24 Ogos ditemui selamat dalam sebuah unit kondominium dekat Ampang Jaya, Selangor.

Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, ditemui dalam rumah teman wanitanya sekitar 1.30 tengah hari pada Rabu.

Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, penemuan Muhammad Amar oleh anggota polis hasil daripada maklumat yang diperoleh mereka

BACA LAGI: Kasihan penerima STR bulanan kena 'berebut' tebus SARA gara-gara MyKasih offline

BACA LAGI: Inkues Zara Qairina: Mahkamah koroner benarkan peguam remaja dituduh jadi pihak berkepentingan

Menurut Farid, Muhammad Amar dikatakan menyorokkan diri selepas takut akibat terlanggar kenderaan salah seorang pegawai tentera.

Selepas kejadian itu, dia kemudiannya melarikan diri dan menyorok dekat rumah teman wanitanya.

"Dia memberikan alasan takut selepas melanggar kenderaan pegawai tentera sebelum meninggalkan tempat kejadian.

"Dia yang dilaporkan hilang pada mulanya, ditemukan dekat rumah teman wanitanya. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memberikan maklumat keberadaannya," kata Muhamad Farid.

Muhammad Ammar kali terakhir dilihat selepas menghadiri Kursus Penyelia Pengangkutan Kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material TUDM (INSMAT) di Bandar Kinrara, Selangor.

Dia dibenarkan untuk pulang ke rumah pada 22 Ogos namun tidak kembali ke pada tarikh yang ditetapkan iaitu 25 Ogos.

Laporan polis terus dibuat oleh penyelianya pada hari yang sama dengan Muhammad Ammar dikesan kali terakhir berada di Sungai Kedondong, Batang Kali pada 23 Ogos sekitar 2.30 hingga 4.30 petang. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram