[VIDEO] Nama sama suami alasan wanita masalah saraf otak cuba peluk Sultan Nazrin ketika sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh


  • Kes
  • Ahad, 31 Ogos 2025

Suspek warga tempatan berusia 41 tahun naik melalui bahagian tepi pentas sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas.

SEORANG wanita mencetuskan kekecohan apabila cuba memeluk Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa perarakan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang berlangsung pada pagi Ahad.

Dalam kejadian yang berlaku ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang, wanita berusia 41 tahun itu berpakaian serba hitam dilihat berdiri di belakang barisan kerabat diraja sebelum secara tiba-tiba meluru ke arah Sultan dari belakang.

Namun, tindakan pantas pasukan keselamatan berjaya menghalang wanita berkenaan. Seorang pengawal segera bertindak melindungi Sultan, manakala beberapa anggota lain menahan suspek.

BACA LAGI: [VIDEO] Oyen, Simba dan basikal berhias warnai perarakan Hari Kebangsaan ke-68

BACA LAGI: Ramai tak buat tapi patut dicontohi, selit nombor telefon dalam dompet anak boleh jadi penyelamat

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Noordin dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa wanita tempatan itu telah ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Suspek memasuki kawasan pentas utama dari bahagian tepi sebelum menghampiri Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak. Dia berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas,” katanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Noor Hisam menyatakan hasil soal siasat dengan suspek mendapati tindakan itu dibuat kerana nama suaminya iaitu Nazri seakan-akan sama dengan Sultan Nazrin.

Hasil semakan awal, wanita terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan turut memiliki sejarah rawatan psikiatri.

Difahamkan, dia kini berada di bawah pemantauan pakar psikiatri.

Bagaimanapun, ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif.

“Kami menyeru orang ramai agar menghormati acara rasmi negara dan tidak melakukan tindakan yang boleh menimbulkan kebimbangan awam,” tambah beliau.

Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian. — The Star/ANNABELLE LAWRENCE

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram