[VIDEO] 'Asyik offline, takkan nak tunggu sampai 31 Disember baru sistem SARA stabil?'


  • Massa
  • Selasa, 02 Sep 2025

Sistem SARA mengalami masalah sejak 31 Ogos hinggakan ramai pihak tidak dapat menebusnya meskipun ia boleh digunakan sehingga 31 Disember.

SEJAK sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, rakyat Malaysia cuba memanfaatkan pemberian RM100 menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) oleh kerajaan kepada mereka berusia 18 tahun ke atas.

Namun begitu, ramai yang mengadu tidak dapat menggunakan SARA akibat masalah sistem yang tergendala atau offline.

Malah, tular di media sosial, video menunjukkan seorang kakitangan di pasar raya membuat pengumuman hanya wang dan bayaran secara kad dibolehkan kerana sistem SARA mengalami masalah.

BACA LAGI: [VIDEO] Bantuan SARA RM100 mula dibelanjakan, tapi ada mengeluh sistem tergendala ketika buat bayaran

BACA LAGI: Cuba semak, ada 3 pasar raya paling mudah dicari belanja SARA one-off

"Kepada sesiapa yang nak pakai kad pengenalan hari ini, (sistem) offline, offline. Boleh bayar pakai tunai atau kad bank sahaja," katanya.

Situasi sistem tergendala itu nyata mengecewakan orang ramai yang jelas ingin memanfaatkan pemberian tersebut terutamanya ketika ini adalah waktu lazim rakyat mendapatkan barangan keperluan.

Walaupun penggunaan SARA itu sah sehingga 31 Disember, orang ramai tetap berharap agar sistem tersebut dapat diselesaikan dengan segera.

Pada mereka, tidak wajar hendak tunggu sehingga hujung tahun, barulah sistem SARA akan stabil dan tidak tergendala.

"Orang nak pakai sekarang sebab dah masuk bulan baru, kalau nak tunggu sampai hujung tahun baru nak elok sistemnya, rugilah," komen Mizal Khairul.

"Dah tahu ramai orang nak pakai, patutnya sistem tu dah bersedia dari awal. Takkan tak fikir pasal ni?," soal Fatihah Fadzli.

"Kasihan tengok pakcik makcik yang dah ambil barang banyak, sekali SARA tak boleh guna sebab sistem down, mereka memang harapkan boleh pakai bantuan tu," kata Amirul Zamri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram