
SEJAK 31 Ogos, rakyat Malaysia sudah boleh menikmati penggunaan wang RM100 pemberian kerajaan kepada individu berusia 18 tahun ke atas menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Namun begitu, pada hari pertama pelaksanaan tersebut melihatkan beberapa situasi di mana berlakunya kesesakan hingga imbuhan tersebut tidak dapat ditebus rakyat.
Malah, ada juga mereka yang berbelanja melebihi jumlah imbuhan yang diberikan hingga tidak dapat membayarnya ketika di kaunter.
BACA LAGI: Ramai tak buat tapi patut dicontohi, selit nombor telefon dalam dompet anak boleh jadi penyelamat
Wanita tersebut membantu pasangan warga tua untuk membayar belanja barang dapur mereka. — Threads/sofeaaaaaa_s
Berdasarkan perkongsian sofeaaaaaa_s, dia memilih untuk membayarkan perbelanjaan orang tua yang hampir meletakkan semula barangan apabila tidak dapat menggunakan SARA.
"Pagi tadi (Ahad) beli barang dapur, barisan beratur panjang. Sekali masa nak bayar, bantuan MySara tak lepas. Depan aku ada pasangan tua, muka dah serba salah, siap nak letak balik barang.
"Kesiannya bila tengok, poket aku ada RM150 je, tapi aku bayarkan saja untuk mereka. Tak apalah, esok, lusa rezeki ALLAH ada lagi. Aku muda, tak makan sehari pun tak mati. Mereka lagi perlukan," katanya.
Malah, satu peristiwa membuatkan air matanya mengalir saat membantu seorang wanita warga emas di pasar raya.
Tanpa disangka, tindakannya membayarkan barangan orang tua tersebut membolehkannya menerima doa agar ditemukan dengan jodoh yang baik.
Dia yang merupakan anak yatim piatu, jelas tersentuh dengan perkara tersebut.
Bantuan diberikannya mendorong kepada doa agar ditemukan jodoh yang baik. — Threads/sofeaaaaaa_s
"Hari ni aku bayar barang dapur untuk seorang makcik. Lepas tu dia peluk aku, pegang pipi, cium kiri kanan sambil tanya dah kahwin ke?
"Aku geleng je dengan mata yang dah berkaca. Dia cium lagi sambil bisik, 'acik doakan kau dapat jodoh yang baik.'
"Duit tu aku tak pernah kesal keluarkan. Sebab duit boleh cari, tapi doa dari seorang ibu, pelukan ikhlas seorang mak Itu hadiah yang aku dah lama tak rasa sejak arwah mak ayah pergi.
"Al-Fatihah buat mak ayah aku," ulasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram