
KEMERDEKAAN membawa erti berbeza kepada Muhammad Syafie Husnul Yakin, 22 yang pernah melalu detik hitam dalam hidup apabila terperangkap dalam masalah penyalahgunaan dadah ketika dia berada di tingkatan tiga.
Menurut Syafie, kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan tetapi memberi makna kebebasan daripada kehancuran diri sendiri.
“Saya rasa saya merdeka apabila saya bebas daripada dadah. Bebas daripada rasa hilang arah. Sekarang saya buat bisnes potong rambut, cari rezeki halal, bantu mak ayah. Itu yang buat saya rasa hidup.
"Mungkin saya belum cukup sempurna, tapi hari ini saya lebih kuat. Saya bebas dan saya pilih untuk terus hidup dengan harga diri,” katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Asfalt mesra alam ganti bitumen jimatkan kos pembinaan jalan hingga RM45,000
Syafie (kanan) mengikuti Team Programme Malaysia kelolaan SAY. — SAY
Mengimbau kembali bagaimana dia terjebak dalam penyalahgunaan dadah, Syafie mengakui, dia terikut-ikut pengaruh rakan sebaya.
“Paling heavy saya pernah ambil ialah ganja dan ‘mushroom’.
“Dadah tu buat saya jadi separuh sedar, macam hampir nak gila.
"Saya rasa macam hidup ini tak guna sampai pernah nak tikam mak sendiri, punca sebab dadah tu lah," kongsinya kesal.
Cerita Syafie, dia mula mengambil dadah seawal usia 15 tahun, ketika masih bersekolah di tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Subang Jaya, Selangor.
"Pengaruh kawan-kawan jugalah dan rasa ingin mencuba menjerumuskan saya ke dalam penagihan dadah," katanya yang memberitahu, dia menghabiskan kira-kira RM10,000 untuk membeli bahan terlarang itu.
Kursus menggunting rambut menjadi pilihan Syafie semasa di berada di Puspen. — SAY
Keadaan Syafie yang berusia 19 tahun ketika itu cukup membimbangkan keluarga sebelum mereka akhirnya membuat keputusan menghantarnya mendapatkan rawatan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi, Kuala Lumpur.
"Masa sign nak daftar masuk (Puspen) tu, saya fikirlah, kat luar ni mungkin tak jadi apa kalau teruskan hidup.
"Baik masuk pusat (Puspen) dulu sementara itu. Masuklah dalam wad, salam mak ayah semua. Masa salam tiba-tiba nangis.
"Masa kunci pagar, terus saya meronta-ronta nak balik, rasa masih tak boleh terima masa itu. Dalam otak, tempat apa ni?" cerita Syafie lagi.
Syafie memulakan perniagaan gunting rambut dari rumah dengan modal kira-kira RM700. — SAY
Syafie memberitahu, proses pemulihan bukan mudah kerana memerlukan kekuatan mental, fizikal dan rohani.
Namun di Puspen jugalah, Syafie menemui sinar apabila mengikuti kursus gunting rambut yang ditawarkan dalam bengkel kemahiran di bawah Team Programme Malaysia kelolaan Selangor Youth Community (SAY).
“Ada banyak kursus sebenarnya, ada menjahit, pertukangan kayu, tapi saya pilih gunting rambut.
"Saya belajar cara pegang gunting dan sikat dengan betul, cara guna mesin potong rambut dan sebagainya," kata Syafie.
Selepas berjaya menamatkan program dan menerima sijil, dia meneruskan latihan gunting rambut dengan klien-klien di Puspen.
Teknik potongan rambut dipelajari sendiri oleh Syafie melalui TikTok dan YouTube. — SAY
Sekembalinya di rumah, Syafie meneruskan minat menggunting rambut dengan disokong oleh ahli keluarga terutama kakaknya.
"Kakak offer nak belikan peralatan asas yang boleh digunakan di kedai perkakas gunting rambut," katanya.
Dengan modal kira-kira RM700, Syafie memulakan perniagaan gunting rambut dari rumah dengan mengambil inisiatif sendiri mempelajari lebih banyak teknik potongan rambut melalui TikTok dan YouTube.
"Saya cakap dengan diri sendiri, tak boleh kembali ke jalan salah. Saya sedar, saya kena buat betul-betul dan serius dengan apa yang diusahakan," katanya.
Melihat semangat dan potensi yang ditunjukkan, pihak Team Program Malaysia menghubungi semula Syafiq untuk menawarkan bantuan peralatan tambahan.
“Saya macam tak percaya... tapi dari situ saya semakin yakin. Saya tahu saya boleh bawa kemahiran ini sebagai perniagaan dan pekerjaan,” katanya.
Syafie (kanan) menerima Anugerah Ketabahan Team Programme Malaysia SAY. — SAY
Anak bongsu daripada tiga beradik itu memberitahu, buat masa ini dia mengendalikan perkhidmatannya menerusi sistem yang lebih fleksibel.
"Sebab saya tidak mempunyai kedai tetap, jadi pelanggan boleh membuat tempahan dulu," katanya yang menerima kira-kira tiga pelanggan sehari.
Memandang ke hadapan, Syafie yang juga penerima Anugerah Ketabahan Team Programme Malaysia SAY memasang impian untuk memiliki kedai gunting rambut sendiri pada masa depan dan membawa jenama Pie's & Co Barber Shop ke tahap lebih baik.
"Insya-ALLAH kalau ada rezeki saya nak ada kedai sendiri. Mungkin lima tahun atau 10 tahun lagi, siapa tahu kan.
"Buat masa sekarang, saya tawarkan perkhidmatan dari rumah secara appointment dulu dan tawarkan khidmat gunting rambut mengikut kehendak pelanggan," ujarnya.
Majlis Team Award Programme Malaysia SAY 2025, dianjurkan bersama King’s Trust International (KTI) memberi pengiktirafan kepada lima penerima anugerah atas sumbangan mereka dalam membina masa depan belia melalui pembangunan peribadi, kerjaya dan komuniti.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pengasas dan penaung Diraja Selangor SAY. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram