
MEMBAHAGI masa antara kerja sepenuh masa dengan perniagaan bukan tugas yang mudah.
Namun, bagi pemilik konsultansi pendidikan, V. Sharanya, dorongan melalui program pemerkasaan wanita EmpoweHER telah membawanya satu langkah lebih dekat ke arah menuju impiannya.
Program EmpoweHER, yang berlangsung selama setahun dan dibiayai sepenuhnya, dilancarkan di Johor untuk membantu wanita membangunkan perniagaan mereka melalui pendekatan praktikal dan pembinaan rangkaian profesional.
BACA LAGI: Asfalt mesra alam ganti bitumen jimatkan kos pembinaan jalan hingga RM45,000
BACA LAGI: Hobi mahal pelihara macaw bawa rezeki, pembuat roti jana duit tepi latih burung eksotik ‘freefly’
Bagi Sharanya, 36, kursus tersebut menjadi titik perubahan dalam membina keyakinan dan memperhalusi visinya.
“Sebagai pendidik sebelum ini, saya tahu banyak kursus yang menawarkan peningkatan diri, tetapi saya kurang yakin.
“Selepas meneliti latar belakang para penceramah, barulah saya memilih untuk menyertai program 12 bulan ini. Saya tertarik dengan cara mereka menyampaikan maklumat dari buku yang sepatutnya saya baca.
"Dari situ saya sedar inilah kursus yang tepat untuk saya,” katanya.
Sharanya berkata, dia memerlukan lebih daripada kemahiran pedagogi atau mengajar untuk membina empayar pendidikan sendiri.
“Penceramah dalam program ini fokus kepada kemahiran yang membantu dalam pekerjaan kami, bukan sekadar pengetahuan teori.
“Contohnya, mereka mengajar saya literasi digital termasuk cara membuat grafik dan menjangkau audien sasaran melalui iklan.
“Kemahiran-kemahiran ini sukar dikuasai sendiri, walaupun pelbagai sumber dalam talian tersedia. Para penceramah bukan sahaja informatif, tetapi juga mempunyai pengalaman langsung dan pangkalan pelanggan yang kukuh, memberikan saya keyakinan untuk maju,” jelasnya lagi.
Seorang lagi peserta, Hasenah Sayar Hussain, 48, menyertai program itu bagi mempersiapkan diri membuka perniagaan sendiri.
“Saya telah lama mencari kursus sebegini, namun banyak yang hanya mengajar secara dangkal tanpa hasil signifikan.
“EmpoweHER bukan sahaja percuma, tetapi juga menawarkan latihan praktikal seperti menggunakan Concept AI, ChatGPT dan Canva yang kesemuanya penting untuk mengendalikan perniagaan,” katanya.
Bagi kedua-dua wanita tersebut, komitmen penganjur dan kualiti penceramah adalah sama penting dengan kemahiran yang dipelajari.
Pengerusi penganjur, N. Yokitha, 37, berjaya mengumpulkan sumber dan memeterai kerjasama dengan pakar industri untuk menawarkan program itu tanpa kos.
Peserta hanya perlu komited sepanjang tempoh 12 bulan penganjurannya sebagai cara untuk menyumbang kepada masyarakat.
“Ini bukan sekadar seminar sehari, ia adalah perjalanan setahun dan kami komited untuk bersama peserta daripada idea hingga pengembangan,” katanya.
Nokitha menyedari bahawa ramai wanita masih kekurangan kemahiran perniagaan asas dan berhasrat mencipta titik tolak untuk komuniti mereka dengan sokongan daripada rakan pakar industri.
Beliau menambah bahawa program di Johor hanyalah permulaan, dan pasukan merancang memperluas serta menyempurnakan kandungan supaya menepati keperluan usahawan wanita di seluruh Malaysia.
“Dengan 60 wanita sudah menyertai edisi Johor, saya berharap program ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk merebut peluang dan membawa perniagaan mereka ke tahap seterusnya,” kata Yokitha. — The Star / RHEMA SENG
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram