
SEKUMPULAN penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta inovasi mesra alam dengan mengubah sisa sampah menjadi bahan yang boleh menggantikan sebahagian bitumen dan memulihkan jalan lama.
Inisiatif itu bukan sahaja mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, malah menjimatkan kos pembinaan.
Pensyarah kejuruteraan lebuh raya dari UTM, Prof Madya Dr Norhidayah Abdul Hassan berkata, Pavement and Transportation Research Group mereka telah membangunkan dua produk mesra alam, iaitu Food‑Waste Binder (FWB) dan Maltenator.
BACA LAGI: Hobi mahal pelihara macaw bawa rezeki, pembuat roti jana duit tepi latih burung eksotik ‘freefly’
BACA LAGI: Guna e-Wallet bayar saman, transaksi lain di kaunter JPJ seluruh negara
Perbandingan antara asfalt konvensional dan asfalt FWB.
Menurut beliau, inovasi dwi-produk itu menawarkan penyelesaian jangka panjang untuk dua isu berpanjangan iaitu jalan yang rosak dan sisa makanan berlebihan.
Katanya, Johor menghasilkan antara 2,000 hingga 3,000 tan sisa makanan setiap hari, cukup untuk menghasilkan antara 300 hingga 450 tan FWB melalui proses berpatennya.
"Bergantung kepada jenis sisa makanan, penyelidik memerlukan sekitar 2.9 hingga 6.7 tan bahan tersebut untuk menghasilkan satu tan atau 1,000 kilogram (kg) binder.
"Teknologi ini boleh menggantikan sehingga 30 peratus bitumen yang digunakan dalam campuran jalan.
"Sebagai contoh, satu lorong jalan sepanjang 1 km biasanya memerlukan kira-kira 40,000 kg bitumen, tetapi dengan binder kami, ia boleh menggantikan sehingga 12,000 kg bitumen," jelas Norhidayah.
Prof Madya Dr Norhidayah Abdul Hassan.
Penggunaan binder itu kata Dr Norhidayah, dapat mengurangkan kos pembinaan antara RM30,000 hingga RM45,000 per kilometer, bergantung kepada formulasi yang digunakan.
Tambahnya, produk tersebut direka dan diuji khusus untuk cuaca panas dan lembap di Malaysia.
Ia menunjukkan ketahanan tinggi terhadap kerosakan berkaitan haba seperti deformation dan penurunan permukaan jalan (rutting).
Selain menjimatkan kos dan mengurangkan penggunaan bahan petroleum seperti bitumen, inisiatif itu juga menawarkan kaedah lebih lestari untuk menguruskan sisa makanan, yang biasanya berakhir di tapak pelupusan sampah dan menghasilkan bau busuk serta gas toksik.
Inovasi berkenaan memenangi anugerah utama di South International Invention Fair 2023 di Korea Selatan.
Sampel asfalt FWB.
Walaupun sesetengah pihak berkuasa tempatan dan kontraktor menunjukkan minat serta memberikan maklum balas positif, Dr Norhidayah berkata, pasukannya masih mencari kerjasama lanjut dengan pemain industri lain.
“Teknologi ini mempunyai potensi komersial yang besar, terutamanya di negara yang menghasilkan banyak sisa makanan dan bergantung kepada bitumen import,” ujarnya.
Sementara itu, pensyarah kejuruteraan lebuh raya yang mengetuai projek Maltenator, Prof Madya Dr Haryati Yaacob, menjelaskan bahawa produk tersebut digunakan untuk memulihkan asfalt yang sudah lama.
“Setiap tahun, bertan-tan bahan jalan lama dikeluarkan semasa penyelenggaraan.
"Daripada membuangnya, bahan-bahan ini boleh dikitar semula menggunakan Maltenator untuk memanjangkan umur jalan dan mengurangkan keperluan sumber baharu.
"Kedua-dua inovasi melalui ujian makmal yang luas dan kini kami merancang pengeluaran besar-besaran dan percubaan di lapangan secara kolaboratif,” katanya. — The Star/ MYSARA FAUZI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram