[VIDEO] Bantuan SARA RM100 mula dibelanjakan, tapi ada mengeluh sistem tergendala ketika buat bayaran


  • Massa
  • Ahad, 31 Ogos 2025

Tular kisah penerima SARA yang terkandas di kaunter pembayaran gara-gara gangguan sistem.

KETIKA rakyat Malaysia mula menikmati manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, tular di media sosial kisah menyentuh hati seorang penerima bantuan yang berdepan kesukaran apabila sistem pembayaran SARA didakwa tergendala.

Menerusi satu perkongsian oleh pengguna Facebook dikenali sebagai Bang Thoryiibb, dia meluahkan rasa kecewa apabila menyaksikan situasi yang mana seorang pelanggan tidak dapat menggunakan bantuan tersebut kerana sistem 'offline', meskipun sudah menghabiskan masa memilih barang dan beratur panjang di kaunter pembayaran.

“Saja nak kongsikan, orang depan nak bayar guna SARA, sekali sistem offline. Kau bayangkan dia dah habis masa 15 hingga 30 minit pilih barang dan beratur, end up SARA tak boleh guna. Dalam dompet pula cuma ada RM50 nak bayar hutang dan isi minyak,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Nama sama suami alasan wanita masalah saraf otak cuba peluk Sultan Nazrin ketika sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh

BACA LAGI: Ramai tak buat tapi patut dicontohi, selit nombor telefon dalam dompet anak boleh jadi penyelamat

Di samping itu, dia turut mempersoalkan kelemahan pihak peniaga kerana tidak memaklumkan lebih awal bahawa sistem tidak berfungsi.

“Kelemahan pada sistem dan penjual sebab tak paparkan sistem offline dekat pintu masuk,” tambahnya dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan SARA sebanyak RM100 secara one-off kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Bantuan itu boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras, sabun, minyak masak dan lain-lain di lebih 4,100 premis termasuk pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka seluruh negara.

Penggunaan bantuan tersebut hanya memerlukan penerima menunjukkan MyKad di kaunter pembayaran setelah memilih barang yang dibenarkan dan boleh dibelanjakan hingga 31 Disember 2025.

Pelaksanaan itu diharap dapat meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, dengan lebih 22 juta penerima dijangka mendapat manfaat melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion.

Namun, insiden tular ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna yang mengharapkan agar sistem dilaksanakan dengan lebih telus dan efisien, termasuk penyediaan notis awal jika berlaku gangguan sistem bagi mengelakkan kekeliruan dan kesulitan kepada pengguna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram