[VIDEO] Kemenangan buat rakyat Indonesia, Prabowo setuju hapus elaun DPR


  • Benua
  • Ahad, 31 Ogos 2025

Keputusan yang diumumkan Prabowo itu dibuat susulan desakan orang ramai berikutan siri demonstrasi di Indonesia. — Agensi

PRESIDEN Indonesia, Prabowo Subianto bersama pimpinan parti politik di Parlimen bersetuju untuk menghapuskan elaun anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR RI) atau ahli parlimen serta menghentikan semua lawatan kerja ke luar negara.

Keputusan yang diumumkan di Istana Merdeka, Jakarta berkenaan dibuat susulan desakan orang ramai berikutan siri demonstrasi membantah gaji berlebihan dan elaun perumahan untuk ahli parlimen di beberapa wilayah negara itu.

"Beberapa dasar Dewan telah dipersetujui untuk dibatalkan, termasuk elaun penggubal undang-undang dan moratorium perjalanan ke luar negara," kata Prabowo.

BACA LAGI: [VIDEO] Uya Kuya mohon maaf berjoget dalam Parlimen, perjelas sebab sebenar tarian

BACA LAGI: [VIDEO] Menteri joget dalam sidang Parlimen, sifatkan rakyat 'orang tolol sedunia' punca rusuhan Indonesia

Bukan itu sahaja, beliau juga menegaskan Dewan akan membuka ruang dialog secara langsung dengan rakyat dalam masa terdekat sebagai usaha mendengar dan menyalurkan aspirasi masyarakat.

"Saya juga akan meminta kepimpinan Dewan menjemput ketua masyarakat, wakil pelajar serta kumpulan yang ingin menyuarakan pandangan mereka supaya dapat didengari dan terlibat dalam dialog," ujarnya.

Menurut Prabowo, cadangan lain daripada orang ramai juga akan dilaksanakan melalui wakil yang diterima terus oleh Dewan.

Turut hadir dalam pengumuman itu ialah lapan pemimpin parti, termasuk Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Ahmad Muzani, Speaker Dewan Rakyat Puan Maharani dan Speaker Dewan Perwakilan Wilayah Sultan Najamudin.

Hadir sama, Presiden kelima Indonesia Megawati Soekarnoputri serta beberapa tokoh kanan parti politik, antaranya Timbalan Pengerusi Parti Demokrat Edhie Baskoro Yudhoyono, Setiausaha Agung PKS Muhammad Khalid, Pengerusi Parti Golkar Bahlil Lahadalia, Pengerusi PKB Muhaimin Iskandar, Pengerusi PAN Zulkifli Hasan dan Pengerusi NasDem Surya Paloh. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram