
KERAJAAN baru-baru ini mengumumkan pemberian bantuan one-off berjumlah RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.
Ini merupakan kali pertama bantuan tunai disalurkan kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun secara menyeluruh melalui MyKad.
Inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lepas itu bertujuan meringankan beban kewangan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
BACA LAGI: SARA RM100: Beras, minyak masak dan detergen dalam 'list', cek barangan boleh dibeli
Bantuan berkenaan akan disalurkan secara berperingkat dalam tempoh terdekat, membolehkan penerima menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan harian termasuk membeli barang asas, keperluan dapur serta kos pengangkutan.
Menurut kenyataan Anwar yang merangkap Menteri Kewangan, pemberian itu boleh dibelanjakan di kedai terpilih mulai 31 Ogos 2025 hingga 31 Disember 2025 di lebih di 4100 kedai seluruh negara.
Menghitung 10 hari sebelum wang disalurkan, mesti ramai rakyat Malaysia yang tertanya-tanya premis mana terpilih dan mudah dicari bagi menggunakan inisiatif daripada kerajaan itu.
1) 99 Speedmart
99 Speedmart boleh menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk membeli barangan runcit.
Bagi kebanyakan keluarga di kawasan perumahan dan luar bandar, 99 Speedmart sering menjadi 'penyelamat saat akhir' kerana menawarkan pelbagai barangan asas dengan harga yang stabil dan mampu milik.
Konsep kedai serbaneka padat yang mudah ditemui di kejiranan anda dengan keperluan harian berkenaan memudahkan orang ramai mendapatkan barangan tanpa perlu berbelanja besar.
Ia memberi kelebihan kepada penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang hanya perlu singgah di kedai berhampiran tanpa perlu menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk membeli barang dapur.
Melalui bantuan one-off tersebut, rakyat Malaysia boleh membeli keperluan asas seperti beras, minyak masak, telur, sabun dan alat tulis dengan lebih mudah di Speedmart.
2) Giant
Giant antara pasar raya terkemuka tanah air.
Giant Hypermarket sejak dahulu dikenali sebagai pasar raya besar yang menawarkan pelbagai pilihan barangan di bawah satu bumbung.
Dari makanan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan daging, hinggalah barangan kering serta perkakas rumah, semua boleh didapati dengan sangat mudah di premis berkenaan.
Apa yang menjadikan Giant lebih menarik ialah promosi mingguan yang sering ditawarkan berikutan dengan potongan harga yang menggiurkan, pembeli berpeluang mendapatkan lebih banyak barangan pada harga yang lebih rendah berbanding tempat lain.
Bagi penerima bantuan SARA RM100, berbelanja di Giant memberi kelebihan kerana nilai bantuan itu dapat dimaksimumkan dan rakyat membawa pulang lebih banyak keperluan asas harian, sekali gus menjadikan perbelanjaan lebih berbaloi.
3) Mydin
Mydin menawarkan barangan untuk pelanggan Muslim.
Rangkaian pemborong dan peruncit halal, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) sejak sekian lama dikenali sebagai pasar raya 'mesra rakyat' kerana menawarkan harga borong yang kompetitif dan pelbagai barangan keluaran tempatan.
Mydin yang memberi jaminan halal pada produk yang dijual, sekali gus memberikan keyakinan penuh terutamanya kepada pelanggan Muslim.
Kepelbagaian produk halal tersebut membolehkan pembeli membuat pilihan dengan tenang tanpa perlu bimbang soal status barangan.
Bagi penerima bantuan SARA RM100, berbelanja di Mydin memberi kelebihan kerana mereka boleh mendapatkan barangan asas dalam kuantiti lebih banyak dengan harga borong.
Pembelian pukal berkenaan membantu keluarga merancang perbelanjaan dengan lebih baik, sambil memastikan setiap ringgit bantuan dimanfaatkan sepenuhnya.
Sebelum berbelanja, layari https://www.sara.gov.my untuk memeriksa senarai kedai yang boleh menggunakan Sumbangan Penghargaan SARA.
Maklumat lanjut layari laman web Sumbangan Asas Rahmah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram