[VIDEO] ‘Sejahtera Malaysia’ bergema di Jepun, susunan komposer tempatan didendangkan 100 pelajar


  • Massa
  • Isnin, 01 Sep 2025

Tangkap layar para pelajar Jepun menyanyikan lagu tersebut di bawah pimpinan Chow Shern. 

SEMANGAT patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada 31 Ogos turut dikongsi di pentas antarabangsa apabila lebih 100 pelajar sekolah menengah di Jepun menyanyikan lagu patriotik Sejahtera Malaysia hasil susunan komposer tempatan, Yeo Chow Shern.

Rakaman persembahan itu dimuat naik di laman media Facebook, The Band Lab’s yang disertakan dengan dua video menunjukkan para pelajar Jepun menyanyikan lagu tersebut di bawah pimpinan Chow Shern. 

Menurut perkongsian dari laman Facebook berkenaan, persembahan istimewa tersebut membawa mesej bahawa muzik adalah bahasa sejagat yang mampu menyatukan bangsa tanpa mengenal sempadan.

BACA LAGI: Ujian urin negatif, wanita cuba dekati Sultan Nazrin direman 3 hari

BACA LAGI: Selain Malaysia Madani, 3 tema Hari Kebangsaan pastinya paling diingati rakyat

"Selamat Hari Kebangsaan, Malaysia! Ini adalah penghormatan kami buat tanah air tercinta, dari Jepun. 

"Tiada yang lebih membanggakan selain dapat berkongsi lagu patriotik negara kita, ‘Sejahtera Malaysia’ yang disusun oleh Yeo Chow Shern bersama lebih 100 pelajar sekolah menengah Jepun dari @ryoyo_herz. 

"Muzik sememangnya tidak mengenal sempadan," demikian kapsyen yang ditulis bersama video tersebut sambil meluahkan perasaan bangga komposer itu kerana berhasil membawa sentuhan Malaysia dan semangat Hari Kebangsaan ke Jepun. 

Sejahtera Malaysia merupakan lagu patriotik yang mengangkat nilai kedamaian, keharmonian serta perpaduan rakyat Malaysia, dan kali ini ia diberi nafas baharu dalam bentuk persembahan koir pelajar Jepun yang penuh semangat.

Untuk rekod, Chow Shern semakin mendapat perhatian dalam dunia muzik apabila komposer Malaysia berkenaan diiktiraf melalui karya-karyanya yang dinamik dan penuh bertenaga.

Dia telah mendapat pengiktirafan menerusi hasil karyanya di pelbagai pertandingan serta festival antarabangsa, sekali gus meninggalkan impak besar dalam muzik kontemporari di Asia Tenggara.

Chow Shern menamatkan pengajian di Yong Siew Toh Conservatory of Music di Universiti Nasional Singapura dengan pengkhususan dalam komposisi dan minor dalam biola.

Bukan itu sahaja, Chow Shern juga menerima pendidikan muzik di Malaysian Institute of Art dan pernah menjadi pelajar pertukaran di Peabody Institute of Music, Baltimore, Amerika Syarikat.

Sebagai tanda kecintaan kepada tanah air, persembahan Sejahtera Malaysia Chow Shern bersama lebih 100 pelajar Jepun itu jelas sebagai hadiah kemerdekaan khas buat Malaysia, sekali gus bukti bahawa muzik mampu merentasi sempadan budaya dan bahasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram