
PEGUAM mewakili keluarga kepada pelatih kadet Pasukan Pegawai Simpanan (Palapes) di Universiti Teknologi Malaysia, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin sudah menyerahkan bukti baharu kepada polis berhubung kematian arwah.
Peguam, Datuk Naran Singh berkata, bukti itu termasuk sebuah rakaman audio yang disimpan dalam pemacu USB, kepingan foto serta dokumen berkaitan proses mahkamah untuk memperoleh arahan bedah siasat kedua.
"Audio itu merupakan rakaman melibat seseorang yang mendakwa berada di lokasi ketika Syamsul Haris dicederakan dan menyaksikan kejadian tersebut. Individu itu tidak menyedari dirinya dirakam.
BACA LAGI: Bukit Aman ambil alih siasatan kes kematian pelatih Palapes
BACA LAGI: Kematian pelatih Palapes UTM: Mahkamah perintah kubur Syamsul Haris digali semula — Peguam
“Individu A itu menceritakan apa yang berlaku di lokasi sehingga kematian (Syamsul Haris) dan turut menamakan individu-individu yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu.
Rakaman dan transkrip daripada audio itu berserta bahan bukti lain sudah diserahkan kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Fazley Ab Rahman.
Naran (tengah) menyatakan pihak polis memberi kerjasama penuh dalam proses siasatan.
"Kami berharap bahan bukti ini akan membantu pihak polis menemui petunjuk baharu dalam siasatan. Setakat ini, pegawai penyiasat memberi kerjasama penuh.
Jelas Naran lagi, perkembangan daripada bedah siasat kedua itu akan dikongsikan kepada orang ramai sebelum menyegerakan proses pengebumian semula," jelasnya.
Pada Selasa, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan jenazah Allahyarham Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu agar digali semula.
Pelatih kadet berkenaan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor iaitu sehari selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram