Bukit Aman ambil alih siasatan kes kematian pelatih Palapes


  • Kes
  • Rabu, 27 Ogos 2025

Bukit Aman kini mengambil alih siasatan kes kematian pelatih Palapes UTM, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

UNIT Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, mengambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi komitmen sepenuhnya untuk mematuhi perintah dikeluarkan oleh mahkamah bagi tujuan penyelarasan tindakan.

Langkah itu adalah susulan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang membenarkan permohonan keluarga mangsa untuk menggali semula kubur arwah bagi membolehkan proses bedah siasat kali kedua dilaksanakan.

BACA LAGI: 'Tapau' sampai 40 projek, warga asing tutup rezeki rakyat tempatan tawar servis ubah suai di Lembah Klang

BACA LAGI: Terlalu awal untuk sahkan wujudnya unsur buli — Ketua Polis Selangor

Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini memerintahkan agar kubur Syamsul Haris digali semula.

"PDRM mengambil maklum berkenaan permohonan oleh Ummu Haiman Bee Daulatgun (ibu Allahyarham) yang telah difailkan melalui peguam Naran Singh & Co di Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam bagi mendapatkan perintah menggali semula kubur Syamsul Haris yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu.

"Susulan itu, PDRM turut memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip 'Rule of Law' bagi memastikan keadilan ditegakkan," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Allahyarham Syamsul Haris, 22, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor digali semula.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu kepada Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee, 45.

Mahkamah turut mengarahkan agar bedah siasat dijalankan oleh pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur dalam tempoh 14 hari, dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh serta peguam keluarga, Datuk Naran Singh atau wakilnya.

Pakar forensik yang menjalankan bedah siasat juga diarahkan menyediakan laporan dalam tempoh munasabah dan satu salinan laporan tersebut mesti diserahkan kepada peguam keluarga, Tetuan Naran Singh & Co.

Pada 19 Ogos, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun memohon supaya jenazah anaknya digali semula dan mencadangkan agar satu inkues diadakan.

Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram dan dikebumikan pada keesokan harinya di Kampung Rinching Ulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram