'Teruskan berjuang dan jangan berhenti berharap', bapa Zulfarhan titip kata-kata semangat buat keluarga Zara Qairina


  • Massa
  • Ahad, 10 Ogos 2025

Kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir kini menjadi topik hangat dan terus menjadi perhatian seluruh negara tanpa mengira peringkat usia. — Orang Awam/The Borneo Post

KES kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir kini menjadi topik hangat dan terus menjadi perhatian seluruh negara tanpa mengira peringkat usia.

Pelajar berusia 13 tahun itu ditemui dalam keadaan parah kira-kira pukul 3 pagi pada 16 Julai lalu di bawah bangunan asrama sebuah sekolah di Papar, Sabah, sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

Namun, keesokan harinya, Zara Qairina disahkan meninggal dunia dengan laporan awal menyatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama.

BACA LAGI : Exco Sabah nafi ada anak sama sekolah, terlibat kes buli Zara Qairina

BACA LAGI : Kenapa sekarang, mana Suhakam ketika anak saya dibunuh dengan kejam 7 tahun lalu? — Ayah Zulfarhan

Pelbagai desas-desus mula berlegar di media sosial, termasuk dakwaan kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan kes buli.

Malah, beberapa individu turut dikaitkan, termasuk tiga yang dikenali dengan gelaran ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’.

Setakat ini, polis merakam keterangan 60 saksi, namun tiada tangkapan dibuat.

Media turut melaporkan ibu arwah, Noraidah Lamat, kini berada dalam keadaan tertekan. 

Peguamnya memaklumkan, Noraidah memerlukan ruang, doa dan sokongan, bukannya tekanan emosi tambahan.

Noraidah Lamat berada dalam keadaan tertekan selepas peristiwa yang menimpa anaknya Allahyarhamah Zara Qairina. — The Borneo Post

Berkongsi simpati, bapa kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman, iaitu Zulkarnain Idros tampil menitipkan kata-kata semangat buat keluarga arwah Zara Qairina.

Mengimbau pengalaman sendiri berjuang selama tujuh tahun di mahkamah demi mendapatkan keadilan untuk anaknya, Zulkarnain berharap keluarga Noraidah kekal tabah.

“Saya faham perasaan mereka. Jangan putus asa. Berjuanglah sampai ke akhir. Banyakkan berdoa dan teruskan usaha sehingga kebenaran terbukti,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, kehilangan anak adalah dugaan yang amat perit.

“Saya tahu dia (Noraidah) hanya mahu keadilan untuk Zara dan dengan keadaan sekarang, cabaran paling besar adalah emosi, apatah lagi kes ini penuh kelopongan dan berita palsu yang bertebaran. 

"Saya tahu rasanya kehilangan anak, sakitnya tiada siapa mampu bayangkan. Tapi demi dia, demi Zara, teruskan langkah walaupun terpaksa menangis setiap hari. Kebenaran itu berharga, dan ia hanya akan datang jika kita terus mencari,” katanya dalam nada sebak. 

Zulkarnain Idros (kiri) menitipkan kata-kata semangat buat keluarga Allahyarhamah Zara Qairina dan berdoa agar ibu kepada mangsa untuk terus tabah dalam menghadapi segala ujian demi mencari keadilan untuk anaknya. 

Pada masa sama, Zulkarnain menyifatkan tindakan Noraidah membuat laporan polis dan memohon supaya kubur digali semula sebagai langkah tepat untuk mencari kebenaran.

“Kita tidak tahu punca sebenar kematian. Ada dakwaan berkaitan buli, ada juga yang kata punca lain. Siasatan semula adalah cara terbaik untuk mendapatkan kepastian,” katanya.

Untuk rekod, prosedur bedah siasat dan menggali semula mayat pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Komisioner Polis Datuk M. Kumar Muthuvelu, dalam satu kenyataan  tindakan itu diambil selepas laporan siasatan kes tersebut diteliti dan dinilai oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Beliau menjelaskan, langkah itu bertujuan memperoleh maklumat serta bukti tambahan yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian pelajar tingkatan satu itu.

Proses berkenaan akan dilaksanakan berpandukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan terhadap kes Zara Qairina akan dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur.

Anwar Ibrahim berkata, kes itu tidak boleh dipandang ringan, namun memohon orang ramai tidak menjadikannya sebagai bahan politik sekali gus membuat sebarang spekulasi yang mungkin mengundang fitnah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram