
RAJA Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, isu buli di sekolah dan institusi pendidikan yang semakin berleluasa amat membimbangkan sambil menegaskan bahawa institusi terlibat sepatutnya menjadi ruang selamat untuk anak-anak, bukan tempat mencetuskan mimpi ngeri.
Menerusi hantaran di blog peribadinya bertajuk 'Sekolah Sepatutnya Ruang yang Selamat', baginda bertitah, antara sebab pelajar enggan mendedahkan identiti pembuli adalah kerana mahu melindungi rakan-rakan mereka.
“Saya difahamkan bahawa antara sebab pelajar enggan mendedahkan identiti pembuli ialah kerana mahu melindungi rakan-rakan mereka.
BACA LAGI: Bermodalkan RM100, suri rumah hasilkan 'doorgift' comel, ringkas tapi tetap eksklusif
(Dari kiri) Allahyarham Zulfarhan, mendiang T, Nhaveen dan Allahyarhamah Zara Qairina antara mangsa buli yang menggemparkan negara.
"Jika mereka melaporkan tentang pembuli, rakan-rakan mereka pula akan menjadi sasaran. Maka mereka memilih untuk berdiam diri,” titah Seri Paduka menerusi blog baginda pada Isnin.
Baginda turut menyentuh beberapa insiden buli yang menggemparkan negara, termasuk kes melibatkan kadet tentera laut, Zulfarhan Osman Zulkifli dan remaja T. Nhaveen pada 2017 yang meninggal dunia akibat buli.
Baginda bertitah, walaupun ada segelintir mangsa bernasib baik kerana dapat berpindah sekolah, ramai yang lain terpaksa kekal di institusi sama dan terus menanggung penderitaan.
“Buli di sekolah telah menjadi satu budaya yang amat buruk di Malaysia. Perbualan bersama keluarga dan sahabat handai sudah cukup membuktikan bahawa ia sebenarnya berlaku lebih kerap daripada yang disangka. Ianya benar dan ia berleluasa,” titah baginda.
Mengulas lanjut, Raja Permaisuri Agong menegaskan bahawa masyarakat tidak boleh terus memandang ringan isu buli hanya kerana ia tidak melibatkan anak sendiri.
“Adakah kita mengabaikan perkara ini hanya kerana ia tidak berlaku kepada anak kita sendiri? Haruskah seorang lagi remaja atau belia mati dengan derita sebelum kita berkata cukup?
"Berapa ramai lagi ibu bapa dan keluarga harus menanggung derita dan pilunya kehilangan insan tersayang?” titah baginda.
Titahnya lagi, sekolah dan universiti seharusnya menjadi ruang selamat, bukannya tempat yang menimbulkan rasa takut dalam kalangan pelajar kerana ancaman buli.
“Anak-anak, remaja dan belia Malaysia tidak seharusnya merasa takut untuk ke sekolah atau universiti kerana terpaksa menghadapi satu hari atau satu malam lagi, diseksa oleh rakan sebaya mereka.
Para ibu bapa juga tidak sepatutnya perlu bimbang tentang keselamatan anak-anak di sekolah, sedangkan mereka sudah cukup terbeban dengan masalah kewangan dan keluarga sedia ada,” titah baginda lagi.
Baginda menutup titah dengan menekankan bahawa setiap nyawa yang terkorban akibat perbuatan buli tidak seharusnya diambil ringan, sebaliknya menjadi peringatan bahawa tindakan segera perlu diambil bagi menghapuskan budaya tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram