
IBU kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin, membuat permohonan agar jenazah anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis (14 Ogos) bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menggali kubur secepat mungkin, sementara mayat tersebut masih dalam keadaan sempurna dan terpelihara.
Permohonan itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.
BACA LAGI: Dewan Rakyat: Kematian pelatih Palapes UTM: Jawatankuasa khas siasat ditubuh — Zambry
BACA LAGI: Kadet UiTM maut kerana strok haba, tiada kecederaan dalaman — Ketua Polis Selangor
Dalam dokumen mahkamah, Ummu Haiman menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebagai responden.
Ummu Haiman turut memohon agar pakar forensik dilantik untuk menjalankan bedah siasat tersebut dengan kehadiran Datuk Seri Dr Bhupinder Singh (pakar forensik) serta peguamnya, Datuk Naran Singh.
Beliau juga memohon supaya laporan bedah siasat kedua disiapkan dalam tempoh sebulan selepas ia dijalankan, dan salinannya diserahkan kepada firma guaman berkenaan.
Ummu Haiman turut meminta agar pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyiasat kematian anaknya serta satu inkues rasmi diadakan.
“Bedah siasat pertama tidak dijalankan oleh seorang pakar, tetapi hanya oleh pegawai perubatan gred UD10 yang berada di Hospital Pasir Gudang pada waktu itu.
“Oleh yang demikian, saya telah memohon agar anak saya dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail agar post mortem boleh dilakukan oleh seorang pakar forensik dan bukannya seorang pegawai perubatan.
“Namun begitu, apabila tiba di Hospital Sultan Ismail, saya berasa terkejut apabila melihat pegawai perubatan yang sama ketika di Hospital Kota Tinggi berada di sana untuk melakukan post mortem tersebut.
“Saya juga telah dimaklumkan oleh pihak Hospital Sultan Ismail bahawa laporan postmortem anak saya hanya akan tersedia dalam tempoh tiga bulan dari tarikh postmortem dijalankan tersebut," katanya dalam tuntutan itu.
Dokumen mahkamah berkata, pemohon dan keluarganya percaya wujud unsur jenayah dalam kematian Syamsul Haris kerana terdapat banyak percanggahan berkaitan insiden tersebut.
Syamsul Haris, 22, pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram pada 28 Julai.
Polis Johor sebelum ini memaklumkan bahawa hasil autopsi awal tidak menunjukkan sebarang kesan kecederaan jenayah, namun Ummu Haiman secara terbuka menuntut siasatan lanjut selepas melihat kesan lebam misteri pada tubuh anaknya. — The Star/ NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram