Mahkamah perintah kubur Syamsul Haris digali semula


  • Kes
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul Haris digali semula.

 

 

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam pada Selasa memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor digali semula.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Semasa membaca keputusan berkenaan, Bhupindar Singh berkata, responden pertama iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung Ummu Haiman Bee itu bagi menjalankan bedah siasat kedua.

BACA LAGI: Dakwa jenazah masih elok, ibu pelatih Palapes mohon gali kubur semula untuk bedah siasat kedua

BACA LAGI: Dewan Rakyat: Kematian pelatih Palapes UTM: Jawatankuasa khas siasat ditubuh — Zambry

"Responden pertama boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu," katanya dalam prosiding keputusan kepada permohonan gali semula kubur pelatih Palapes UTM itu.

Bhupindar Singh menjelaskan penetapan tarikh keputusan berkenaan dibuat kerana mahkamah memerlukan masa untuk meneliti afidavit baharu yang dikemukakan oleh pihak pemohon.

Pada prosiding Isnin lalu, hadir Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd Salehuddin mewakili Ketua Polis Negara; Pengarah Pendakwaan Selangor, Datin Kalmizah Salleh mewakili Peguam Negara; serta peguam Datuk Naran Singh yang bertindak bagi pihak pemohon, Ummu Haiman.

Ummu Haiman, 45, ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan harapannya agar permohonan untuk menggali semula kubur anaknya dibenarkan, bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian Syamsul Haris.

Permohonan itu difailkan pada 19 Ogos lalu, termasuk cadangan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian pelatih kadet Palapes UTM itu, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram pada 28 Julai.

Polis Johor sebelum ini memaklumkan bahawa hasil bedah siasat awal tidak menemui sebarang unsur jenayah, namun Ummu Haiman menuntut siasatan lanjut selepas mendakwa menemui kesan lebam misteri pada tubuh anaknya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram