
KIRA-KIRA 5,000 guru memilih untuk bersara awal setiap tahun sejak 2022 dengan majoriti daripadanya menyatakan kurang berminat dalam bidang tersebut menjadi punca keputusan itu diambil.
Dalam persidangan Dewan Rakyat pada Rabu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, 5,306 permohonan bersara awal diluluskan pada 2022, diikuti peningkatan kepada 6,394 pada tahun berikutnya, 5,082 permohonan tahun lalu dan 2,397 diterima setakat Mei tahun ini.
Jelas Wong, 67.44 peratus daripada permohonan itu dibuat atas alasan tidak lagi berminat dalam bidang tersebut sementara baki daripadanya adalah disebabkan isu keluarga, masalah kesihatan, bebanan kerja serta hal peribadi.
BACA LAGI: [VIDEO] Guru teruja tengok ibu bapa kreatif guna bahan kitar semula hasilkan pakaian merdeka anak
BACA LAGI: Teruja cerita pada guru, kawan-kawan akan pergi bercuti ke New Zealand, rupanya kena 'prank'
Wong memberi lima faktor di sebalik keputusan guru untuk bersara lebih awal.
Tambahnya, Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk menyelesaikan isu berhubung tenaga kerja yang menjurus terhadap keputusan pelantikan guru sepenuh masa dua kali setahun.
Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) turut terbuka dalam menerima sistem permohonan guru sepanjang tahun untuk merancakkan lagi pengambilan tenaga pengajar.
Malah, jelas Wong, KPM menerusi SPP pada 8 Ogos lalu sudah membuka pelantikan guru dalam kalangan individu berminat yang tidak memegang sijil atau diploma dalam pendidikan.
"Ini akan membenarkan SPP untuk mempunyai pilihan yang pelbagai untuk menarik lebih ramai mereka yang berminat menjadi cikgu. Kami berhasil melantik graduan dari universiti awam, swasta dan luar negara," katanya.
Selain itu, bermula tahun lalu, KPM turut mengadakan perjumpaan dengan guru yang berumur dari 40 hingga 44 tahun yang mahu bersara awal dengan harapan keputusan tersebut dipertimbangkan.
KPM perlu mencari penyelesaian dalam mengurangkan beban dipikul tenaga pengajar.
Terdahulu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mempersoalkan pendekatan diambil untuk mengurangkan beban kerja dalam kalangan tenaga pendidik kerana pelbagai aduan mengenainya sudah dibuat.
Wong berkata, dalam usaha memastikan guru kekal bermotivasi dalam kerja masing-masing, KPM sudah melaksanakan tujuh pendekatan berbeza, termasuk melantik pengawas peperiksaan sementara bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 20 peratus pengawas peperiksaan bukan dari dalam kalangan guru, tetapi kita masih belum capai sasaran itu," katanya.
Jelas Wong lagi, terdapat 7,211 pengawas peperiksaan sukarelawan pada 2023, tetapi menurun kepada 5,780 tahun lalu.
"Kami juga mempunyai pendekatan berlainan untuk melantik pembantu pendidikan menerusi MyStep di sekolah yang memiliki lebih 1,500 pelajar. Mereka boleh mengurangkan beban dipikul guru dengan tugasan luar," katanya. — The Star/TERRENCE TAN, ARFA YUNUS dan GERARD GIMINO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram