
ISU siapa yang layak memegang jawatan warden sekolah bukanlah perkara baharu dan setiap kali tercetus kes disiplin pelajar, topik itu pasti kembali jadi perdebatan panas.
Buli, gengsterisme dan ponteng sekolah, semuanya berkait rapat dengan keberkesanan peranan warden.
Malah, insiden membabitkan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah menghangatkan lagi topik tersebut.
BACA LAGI: Ibu bapa mangsa buli boleh ambil tindakan sivil jika pelaku masih di bawah umur — Peguam
BACA LAGI: Kes Zara: KDN sahkan ada elemen buli, gangguan seksual dan pengabaian
Manakan tidak, mangsa yang berusia 13 tahun itu didakwa dibuli sehingga menyebabkan kematiannya.
Kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir kini menjadi topik hangat dan terus menjadi perhatian seluruh negara tanpa mengira peringkat usia.
Walaupun kronologi yang menimpa mangsa itu masih lagi samar, namun kejadian itu sekali lagi membuka mata masyarakat bahawa jawatan warden bukan sekadar simbolik, tetapi penentu keselamatan pelajar.
Ramai berpendapat sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan (KPM) mengikut langkah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan melantik bekas anggota polis dan tentera sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Tujuannya jelas, mengelakkan tragedi menimpa remaja berusia 13 tahun itu daripada berulang.
Namun, timbul persoalan sejauh mana keberkesanan langkah berkenaan dan siapa lebih layak? Bekas polis atau bekas tentera?
Polis lebih faham undang-undang
Bagi pakar jenayah dan kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim, perdebatan dalam kalangan masyarakat itu ada asasnya.
"Ada yang melihat bekas tentera lebih sesuai kerana mereka terkenal dengan ketegasan, ketahanan fizikal dan disiplin tinggi hasil latihan ketenteraan.
"Namun, ada juga pandangan yang menyokong bekas polis kerana kelebihan mereka dalam memahami undang-undang serta pendekatan berasaskan peraturan," Katanya kepada Majoriti.
Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim
Menurut Shahul Hamid, kalau diteliti dari sudut pelaksanaan disiplin, bekas polis sebenarnya lebih sesuai.
"Polis sudah terbiasa dengan penguatkuasaan undang-undang, tahu tatacara peraturan dan mampu mengaplikasikannya mengikut lunas undang-undang yang betul.
"Itu yang membezakan mereka dengan tentera,” jelasnya.
Menurut beliau, hal itu penting kerana warden tidak boleh bertindak sembarangan terhadap pelajar.
"Segala tindakan mesti berlandaskan peraturan Kementerian Pendidikan (KPM) serta undang-undang negara.
"Jika tersilap langkah, ia boleh menimbulkan isu lain termasuk dakwaan bertindak keterlaluan atau mencederakan pelajar," katanya lagi.
Pendekatan pencegahan
Warden sekolah perlu tegas, tetapi bukan menakutkan. — Gambar Hiasan/Janaan Ai
Datuk Shahul Hamid turut menekankan bahawa latar belakang kepolisan menjadikan bekas polis lebih dekat dengan pendekatan pencegahan berbanding rawatan selepas masalah berlaku.
“Polis terlatih membaca gelagat remaja, boleh kenal pasti potensi salah laku, dan mengambil tindakan lebih awal sebelum tercetus masalah besar seperti buli, gengsterisme atau penyalahgunaan dadah.
"Jadi, peranan mereka bukan sekadar menguatkuasakan disiplin, tetapi juga sebagai mentor untuk membimbing pelajar,” katanya.
Jelas beliau lagi, pengalaman luas bekas polis mendepani masyarakat membolehkan mereka berfungsi sebagai figura yang lebih menyeluruh tegas tetapi berpandukan undang-undang, dekat tetapi tetap menjaga sempadan profesional.
Kekuatan bekas tentera
Namun begitu, Shahul Hamid tidak menafikan bekas tentera juga mempunyai kelebihan tersendiri.
"Mereka terkenal dengan disiplin tinggi serta daya tahan fizikal dan mental, ciri yang sememangnya boleh dicontohi pelajar.
"Cuma, pendekatan ketenteraan tidak boleh dibawa masuk secara bulat-bulat ke dalam suasana sekolah.
"Pelajar berusia 13, 14 dan 15 tahun ini tidak sesuai dilayan dengan kaedah ketenteraan.
"Latihan yang diamalkan semasa bertugas memang baik untuk anggota, tetapi tidak sesuai untuk persekitaran asrama dan sekolah,” tegasnya.
KPM perlu merangka garis panduan yang jelas sebelum melantik bekas polis atau tentera sebagai warden. — Gambar Hiasan/Janaan Ai
Perlu SOP jelas
Atas faktor itu, beliau berpendapat Kementerian Pendidikan (KPM) perlu merangka garis panduan yang jelas sebelum melantik bekas polis atau tentera sebagai warden.
"Garis panduan tersebut juga harus mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Mereka ini memang ada disiplin tinggi, itu kelebihan tetapi SOP perlu jelas supaya disiplin itu disalurkan dengan cara yang betul. Kalau tidak, ia boleh menimbulkan masalah lain pula,” katanya.
Mencari keseimbangan
Apa pun, keseimbangan adalah kunci. Warden sekolah perlu tegas, tetapi bukan menakutkan.
Shahul Hamid berkata, warden perlu mendidik, bukan menghukum semata-mata dan untuk itu, garis panduan yang jelas menjadi asas agar disiplin dapat ditegakkan tanpa menjejaskan kesejahteraan pelajar.
Pada masa sama, Shahul Hamid mengingatkan pentadbir sekolah, sama ada sekolah berasrama penuh atau tidak, supaya tidak sesekali menyembunyikan kes buli hanya kerana mahu menjaga imej sekolah.
“Kalau berlaku, ambil tindakan segera. Jangan biar kes ditutup. Bila dibiarkan, nanti meletup, keluar macam-macam cerita yang lebih buruk.
"Ibu bapa juga tidak boleh berdiam diri dan berhak membuat laporan polis sekiranya anak mereka menjadi mangsa buli," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram