Bukan hilang minat mengajar, tapi bebanan tugasan luar kelas buat guru pilih bersara awal — Pakar


  • Massa
  • Rabu, 20 Ogos 2025

Guru hari ini memikul pelbagai tanggungjawab sehingga mengganggu fokus mereka sebagai warga pendidik. — Gambar hiasan

KEPUTUSAN untuk bersara awal dalam kalangan kakitangan kerajaan bukanlah sesuatu yang baharu, termasuk dalam kalangan guru dengan perkara tersebut cukup merisaukan.

Dalam satu jawapan diberikan dalam persidangan Dewan Rakyat pada Rabu, Wong Kah Woh yang merupakan Timbalan Menteri Pendidikan menyatakan pihaknya menerima lebih 5,000 permohonan bersara awal setiap tahun bermula 2022.

Faktor utama di sebalik tindakan itu adalah kerana rata-rata daripada mereka tidak lagi berminat dalam bidang tersebut dengan sebanyak 67.44 peratus memberikan alasan berkenaan.

BACA LAGI: 'Terkilan cikgu tiada timbang rasa', ibu kecewa anak diberhentikan taska tanpa sebarang surat amaran

BACA LAGI: 'Barang terpakai, kalau kena gaya, tetap nampak cantik', elemen seni, 'rustic' hiasi kediaman Cikgu Amir

Keputusan guru untuk bersara lebih awal perlu diselidik supaya dapat dibendung lebih awal.

Ini sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat kerana masing-masing hairan bagaimana seseorang yang pernah bercita-cita untuk berada dalam dunia pengajian boleh memberi alasan sebegitu.

Malah, keputusan bersara awal yang diambil boleh dianggap satu kerugian memandangkan setiap guru perlu menghabiskan tempoh empat tahun sebelum menerima segulung ijazah dalam bidang pendidikan.

Mengulas akan perkara itu, Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) UTM Johor Bahru, Dr Roslizam Hassan berkata, keputusan itu dibuat bukanlah kerana guru tidak lagi berminat untuk berada dalam kelas.

Tetapi, tindakan untuk menamatkan karier lebih awal hanya dibuat kerana bebanan tugas tidak berkaitan dipikul membuatkan rata-rata mereka bersara lebih awal.

Roslizam berpandangan peranan guru sebagai pengajar bukanlah alasan untuk mereka bersara lebih awal. Facebook/Roslizam Hassan

"Sekiranya anda tanya cikgu yang mahu berhenti, saya jamin mereka tidak akan beri alasan berbuat demikian kerana tidak minat mengajar dan jika ada sekali pun, peratusannya sangat kecil.

"Tetapi, hal-hal lain berkaitan pengkeranian, laporan dan lain-lain tugasan ini yang menyebabkan mereka kurang lagi tertarik untuk menjadi guru," katanya kepada Majoriti.

Roslizam yang juga merupakan pensyarah di UTM ketika ini turut menegaskan rata-rata penuntut sememangnya memahami tugasan bakal dipikul sebagai seorang guru, sekali gus menceritakan minat masing-masing untuk mengajar.

Jelasnya, tugasan lain seperti membawa pelajar ke aktiviti luar bilik darjah merupakan antara beban perlu dipikul memandangkan rata-rata guru lebih tertarik untuk mengajar di sekolah.

Peranan terpaksa dipikul guru di luar bilik darjah menjadi bebanan hebat dalam karier mereka.

Tanggungjawab berkenaan akan menjadi lebih berat di sekolah kecil kerana tenaga pengajar terhad akan memaksa mereka terlibat dengan lebih banyak aktiviti dan peranan berbeza.

"Anda juga tahu bahawa pelbagai sistem perlu dikemas kini seperti e-Hadir, e-Operasi dan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM) dan apa-apa jua bentuk Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC). Isu-isu begini menjadi perkara lebih besar berbanding tugasan mengajar," katanya.

Selain itu, Roslizam menyatakan pangkalan data seperti RMT Online yang mengumpul jumlah makanan diambil murid dan  sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PajSK) berkaitan maklumat fizikal murid, sukan dan kokurikulum perlu diisi dan dikemas kini guru bertugas.

Tambahnya lagi, kenaikan gaji bukanlah langkah proaktif dalam membendung isu daripada terus berlaku kerana keputusan sedemikian hanya bersifat sementara.

Ini kerana penyelesaian terbaik adalah dengan mengembalikan tugasan sebenar guru sebagai warga pengajar tanpa perlu terlalu dibebani dengan perkara lain.

"90 peratus peranan cikgu sepatutnya adalah mengajar dan baki daripadanya adalah untuk tugas-tugas lain, termasuk menimba ilmu untuk diri sendiri seperti peluang menghadiri kursus," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram