Keluar dari kepompong B40, ini rahsia kejayaan lepas lalui hidup susah


  • Maya
  • Sabtu, 02 Ogos 2025

Pendidikan dan usaha gigih bantu ramai keluar daripada belenggu kehidupan B40.

RAMAI di antara kita lahir dalam keluarga berpendapatan rendah atau lebih dikenali sebagai golongan B40.

B40 ialah golongan yang berpendapatan isi rumah paling bawah dalam negara.

Namun, bukan semua kekal dalam kelompok itu kerana ada yang berjaya bangkit, membina kehidupan lebih baik sekali gus melonjak status ekonomi keluarga mereka sendiri.

BACA LAGI: Pengalaman ubah suai rumah baharu, warganet kongsi 7 renovasi dianggap paling membazir

BACA LAGI: Guna teknologi bantu perkembangan kanak-kanak, TOY8 ubah lanskap pendidikan awal

Seorang pengguna Threads, @wosabelle, mengajukan soalan terbuka di media sosial miliknya dan persoalan itu mendapat reaksi positif daripada orang ramai.

"Siapa lahir dari keluarga B40 dan berjaya keluar dari kepompong B40? Macam mana anda boleh keluar dari kepompong B40 itu?"

Jawapan yang diterima cukup menyentuh hati serta penuh inspirasi.

1. Kerajinan dan berani keluar dari zon selesa

Gongju Nabella Ajeuman berkongsi kunci kejayaan beliau adalah rajin dan sentiasa berada dalam fasa mencabar diri keluar dari zon selesa.

"Rajin, selalu di fasa keluar dari zon selesa,” katanya ringkas tapi padat dengan makna.

Perubahan hidup tidak akan berlaku jika seseorang hanya duduk dan berharap kerana ia memerlukan tindakan berani serta kesungguhan yang konsisten.

2. Pengaruh persekitaran dan ibu bapa

Syazwan Nizam Moni pula percaya bahawa suasana persekitaran dan contoh yang ditunjukkan ibu bapa sangat penting, walaupun dalam keluarga B40.

"Walaupun B40, persekitaran dan kawan-kawan masa kecil penting, ada B40 yang ibu bapa gigih berusaha dan hidup berubah.

Anak pun jadi gigih dan yakin diri sebab tengok kerja keras ibu bapa."

Sebaliknya, jika hidup dalam suasana yang selesa dan tiada dorongan untuk berubah, agak sukar untuk keluar daripada kepompong itu.

Namun kecuali jika anak itu sendiri benar-benar tekad untuk mengubah nasib.

3. Pendidikan sebagai tiket keluar dari kesempitan

Ramai yang menyebut pendidikan sebagai jalan utama untuk keluar daripada B40, termasuk:

Jannah Mawaddah, yang sejak kecil menjadikan sekolah sebagai tempat melarikan diri daripada tekanan hidup.

"Dari kecil semangat nak pergi sekolah sebab tekanan hidup, bila kakak sulung masuk universiti, kita jadi makin bersemangat nak belajar sebab nak ikut jejak dia."

Beliau juga menekankan pentingnya kemahiran hidup dan kerajinan, bukan sekadar bergantung pada kelulusan semata-mata.

Aliyana Alias pula berkongsi pesanan arwah ayahnya sejak kecil: "Pendidikan." Satu kata yang cukup padat maknanya.

4. Ilmu dan pasangan hidup

Amna Mardhiah memberikan pandangan yang sedikit berbeza tapi cukup realistik.

"Pertama, jadilah berilmu. Kalau tak ada ilmu, melalui perkahwinan. Pilih pasangan yang berpendidikan. Ilmu dia boleh ajar kita cara hadapi hidup dan kongsi pengalaman orang-orang bijak."

Beliau menambah bahawa pasangan yang berilmu kebiasaannya mempunyai cara berfikir kritikal dan bijak mencari penyelesaian.

Ia satu faktor penting dalam membantu keluar dari kesempitan hidup.

5. Pengorbanan dan kasih sayang keluarga

Kisah paling menyentuh datang daripada Yogeswary Yogie.

Beliau menceritakan bagaimana lima daripada enam adik-beradiknya berjaya menamatkan pengajian universiti walaupun hidup mereka dulu tiada bekalan elektrik atau air.

"Mak kerja kilang, ayah jual ikan naik motosikal. Tapi abang sulung sanggup korbankan impian sendiri untuk bantu mak ayah pastikan adik-adik masuk universiti."

Kini, mereka semua berada dalam kelompok T20, dan abang sulung yang hanya berkelulusan SPM itu menjadi individu paling berjaya dalam keluarga.

"Satu sahaja saya tak pasti, abang saya ini jutawan atau jutawan berganda," katanya berseloroh.

Setiap kisah yang dikongsi menunjukkan bahawa latar belakang bukan penentu masa depan.

Sama ada melalui pendidikan, pengorbanan, pasangan hidup atau keberanian mencabar diri, semuanya bergantung kepada usaha dan tekad untuk berubah.

Kepompong B40 mungkin sempit, tapi tidak kekal kerana dengan kerja keras, ilmu dan sokongan keluarga, ramai telah buktikan bahawa kehidupan boleh berubah 180 darjah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram