Yogurt kelapa Ladang Amirah bebas tenusu, ciptaan geliga pasangan suami isteri dari Pontian


  • Bisnes
  • Khamis, 24 Jul 2025

Amirah (kanan) dan suaminya, Mohd Fauzi mengusahakan ladang kelapa pandan atau kelapa wangi di Ladang Amirah di Pontian. — The Star

KREATIVITI pasangan suami isteri dari Pontian, Johor, berjaya mengubah lambakan tuaian buah kelapa menjadi hidangan kulinari yang unik.

Bagi Amirah Abdul Rahim, 35, dan suaminya Mohd Fauzi Md Said, 37, idea untuk menghasilkan yogurt stail ala Greek berasaskan kelapa tercetus sebagai alternatif buat mereka yang mengamalkan diet bebas tenusu.

Pasangan petani moden itu berkata, perjalanan mereka ke arah penghasilan yogurt daripada tumbuhan bermula kira-kira empat tahun lalu.

BACA LAGI: Contohi Khairul Aming, bekas jurutera fokus satu produk, tak sangka jualan lebih 11 juta 'nappy bag'

BACA LAGI: Buah rosak, bertompok kena 'sunburn', peladang nanas, tembikai kongsi helah elak rugi ribuan ringgit

Amirah mengakui bukan mudah untuk mendapatkan resipi yang betul-betul sempurna bagi menghasilkan nyogurt.

“Memandangkan kami sudahpun menanam sendiri kelapa pandan, kami fikir ada baiknya jika hasilkan sesuatu daripada apa yang ada di sini.

"Pada masa sama, kami berdua memang gemar makan yogurt, dan dengan menukarkan lebihan kelapa menjadi produk, ia dapat mengurangkan pembaziran,” kata Amirah.

Graduan biologi marin yang mengasaskan Ladang Amirah di Pontian pada 2021.

Yogurt ciptaan mereka pasangan itu memiliki tekstur berkrim, sedikit masam dan kaya dengan probiotik.

Diberi panggilan nyogurt, ia menarik minat pengguna yang mengamalkan diet vegan, pentingkan kesihatan serta individu yang memiliki tolerasi rendah terhadap laktosa atau tidak mengambil produk tenusu.

Tidak seperti yogurt berasaskan susu lembu, Amirah berkata, nyogurt mempunyai kelebihan susu kelapa, yang kaya dengan trigliserida rantai sederhana (MCT) dan probiotik semula jadi.

“Bukan mudah untuk mendapatkan resipi yang betul-betul sempurna. Selepas enam kali cubaan gagal, barulah kami berjaya menghasilkan yogurt dengan rasa dan tekstur seperti yang diinginkan.

"Bahkan, kami juga terpaksa mengubah suai resipi antarabangsa agar sesuai dengan tahap kelembapan di negara ini serta menetapkan piawaian kebersihan yang ketat,” kongsinya tanpa lokek.

Disebabkan had pengeluaran yang terhad, Amirah dan suaminya hanya menerima tempahan awal untuk nyogurt selain membekalkannya kepada beberapa kafe terpilih di Pontian.

 

Selain itu, mereka juga turut memenuhi permintaan dari Singapura dan Kuala Lumpur.

Selain nyogurt, Amirah dan suaminya juga menghasilkan minyak kelapa dara, coklat kelapa dan serunding kelapa berempah daripada kelapa pandan atau juga dikenali sebagai kelapa wangi.

Amirah bersyukur kerana perjalanan mereka dalam pertanian lestari mendapat sokongan daripada pelbagai agensi negeri.

Ini termasuk bantuan latihan dan peralatan daripada Jabatan Pertanian Johor serta Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim.

Melihat ke hadapan, pasangan itu berharap dapat membuka sebuah kafe berasaskan ladang bagi mengetengahkan produk tani mereka di samping mempromosikan agropelancongan.

“Kami mahu golongan muda melihat pertanian bukan sekadar kerja berat, tetapi juga ruang untuk kreativiti dan inovasi.

“Tak apa untuk mula secara kecil-kecilan. Apa yang penting ialah perancangan, belajar daripada kesilapan dan menyesuaikan diri dengan cabaran yang mendatang,” tutur Amirah.

Pada tahun lalu, nyogurt ciptaan Amirah dan Mohd Fauzi memenangi anugerah emas Pertandingan Inovasi dan Teknologi peringkat negeri yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Johor. — The Star / MYSARA FAUZI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram