
DI bawah redup pokok-pokok tua yang rendang, tersergam sebuah medan selera yang bukan sekadar tempat mengisi perut tatkala lapar.
Kawasan tanah lapang itu yang masih terjaga khazanah hutannya, menempatkan Warung PagiPagi yang juga menjadi destinasi 'healing' bagi kebanyakan warga kota tanpa mengenal usia daripada keluarga hingga anak muda.
Bertempat di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur dengan berlatarbelakangkan pemandangan menara Merdeka 118, ia menawarkan suasana santai yang tenang dan nyaman, cukup 'chill' sebagai port lepak dari pagi hingga ke dinihari.
BACA LAGI:'Nak buat bisnes kena ada jiwa', semangat ayah dan kekuatan ibu resipi kejayaan pengasas Q Bistro
Warung PagiPagi menawarkan suasana santai yang tenang dan nyaman, cukup 'chill' sebagai port lepak dari pagi hingga ke dinihari.— AZLINA ABDULLAH/The Star
Bersebelahan dengan bangunan bersejarah Galeria Sri Perdana, yang sebelum ini pernah menjadi kediaman rasmi Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, premis tepi jalan itu menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat.
Malah, dengan lokasinya berdekatan beberapa istana hinggap di kawasan berbukit itu, tidak hairanlah jika kadang-kadang kelibat kerabat diraja turut kelihatan menikmati juadah di situ.
Seawal pukul 8 pagi, Warung PagiPagi menyajikan menu klasik kegemaran rakyat Malaysia antaranya nasi lemak, lempeng kelapa, laksa Johor, ubi rebus sambal bilis, lontong dan soto.
Pengurus Besarnya, Asni Muzammil berkata, menu pagi menawarkan sehingga 22 jenis pilihan lauk beraneka rasa untuk dipadankan bersama nasi putih.
“Menu sarapan kami memang ‘comfort food’ rakyat Malaysia. Ramai yang datang semata-mata nak rasa balik lauk-lauk tradisi yang makin susah nak jumpa,” katanya.
Asni (dua kanan) bersama sebahagian kakitangan Warung PagiPagi.— AZLINA ABDULLAH/The Star
Apabila malam menjelma, roti canai dan ayam buttermilk menjadi menu pilihan ramai.
Merupakan menu paling popular, ayam buttermilk (RM14) boleh dinikmati bersama nasi putih atau nasi goreng.
Bagi penggemar roti canai pula, Warung PagiPagi menawarkan pelbagai pilihan daripada roti kosong (RM2), roti telur, roti tampal hingga roti telur bawang.
Malah, menu istimewa seperti roti sarang burung dan roti canai kahwin hanya dijual pada Harga RM5 sepinggan.
Selain itu, Warung PagiPagi turut menjadi tapak kepada 18 gerai makanan lain yang menawarkan hidangan pelbagai seperti makanan barat, makanan Mexico, burger smash, pencuci mulut dan kopi.
Minuman istimewa pula ialah butterbrew tanpa alkohol (RM15) yang datang dalam pelbagai versi seperti light, creamy dan bloody (dengan rasa seakan wafel strawberi), serta brunette (minuman coklat seperti brownies lengkap dengan krim mentega).
Sejak Januari lalu, kawasan berkenaan semakin meriah dengan kehadiran gerai-gerai baharu.
Minuman butterbrew tanpa alkohol antara yang menjadi kegemaran pelanggan di Warung Pagi-Pagi.— AZLINA ABDULLAH/The Star
Bagi Asni, Warung PagiPagi bukan sekadar tempat makan sebaliknya ia adalah ruang komuniti.
“Ramai anak muda datang sini untuk ‘healing’. Ada yang bawa kerusi sendiri semata-mata nak lepak lama sambil hirup udara segar, sembang sampai larut malam,” katanya.
Bagi mereka yang datang berkereta, 140 petak parkir tersedia dengan dibantu anggota Rela bertugas bagi menguruksan laluan dan mengawal lalu lintas.
Warung PagiPagi beroperasi Isnin hingga Jumaat dari (8 pagi – 1 pagi) dan Sabtu dan Ahad (8 pagi – 2 pagi). — The Star/ MEGAT SYAHAR
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram