Tonjol evolusi penternakan, teknologi misi jadikan sektor pertanian, perikanan lebih ‘seksi’ di mata anak muda


  • Bisnes
  • Khamis, 31 Jul 2025

HPPNK 2025 akan menampilkan pelbagai pameran dan inovasi teknologi yang mempromosikan kelestarian makanan.

HARI Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu bakal menonjolkan evolusi, pencapaian dan sumbangan kesemua sektor berkenaan sejak lima dekad lalu.

Edisi bersempena ulang tahun jubli emas yang menandakan 50 tahun penganjurannya sejak mula diperkenalkan pada tahun 1975 itu bakal memperlihatkan pencapaian dan transformasi sektor pertanian, ternakan dan perikanan yang sudah banyak berubah.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, HPPNK 2025 akan menampilkan pelbagai pameran dan inovasi teknologi yang mempromosikan kelestarian makanan termasuk teknologi pertanian pintar seperti GeoAgro, sistem IoT, dron, hidroponik, robotik, teknologi kadar berubah (VRT), tenaga solar serta alat canggih seperti EZGrow™, GreenKit dan Microfarm.

BACA LAGI: Terima pelanggan dari Brunei, usahawan TEKUN Sabah tak sangka teh herba 'home remedy' bantu legakan gout

BACA LAGI: Yogurt kelapa Ladang Amirah bebas tenusu, ciptaan geliga pasangan suami isteri dari Pontian

Menurutnya, antara tarikan elemen teknologi dan inovasi HPPNK kali ini adalah pengunjung dapat menikmati sendiri pengalaman pertanian secara praktikal seperti simulasi combine harvester.

"Pengunjung dapat merasai suasana sebenar mengendalikan jentuai padi semasa proses penuaian di lapangan, melihat lebih dekat baka ternakan seperti lembu hibrid terbaik, baka kambing, ayam saga dan kuda poni.

"Di antara teknologi yang dipamerkan adalah teknologi dron, prototaip teknologi kejuruteraan pertanian untuk sistem pertanian pintar serta model sistem pengairan dan saliran pertanian, Recirculating Aquaculture System (RAS) asuhan ikan marin seperti kerapu dan siakap, di samping inovasi teknologi ikan tilapia," katanya kepada media dalam sesi temu bual khas di KPKM pada Isnin.

Isham berkata, teknologi-teknologi tersebut menjadikan pertanian lebih menarik kepada golongan muda yang biasanya beranggapan sektor pertanian, perladangan dan perikanan sebagai bidang kurang menarik.

'Cabaran terbesar dalam sektor pertanian hari ini adalah penyertaan golongan muda. Ramai peladang dan penternak kini terdiri daripada kelompok berusia, hinggakan kadar penerapan teknologi dalam kalangan mereka agak perlahan.

“Oleh itu, kita nak tarik minat golongan muda. Mereka mungkin tak nampak pertanian ini ‘seksi’, tapi apabila kita kaitkan dengan teknologi, itu yang menarik perhatian mereka,” katanya mengenai program yang mengangkat tema ‘Kudrat Kami Menjamin Pertiwi’ itu.

Beliau berkata, pengunjung juga dapat melihat demonstrasi aplikasi IoT dalam perikanan dan pertanian, penternakan udang menggunakan realiti maya dan mesin penarik pukat inovatif.

"Pengunjung boleh melihat dan merasai sendiri sistem IoT yang membolehkan peladang mengawal kebun hanya menggunakan telefon pintar bermula daripada menyiram pokok, membaja hinggalah merancang waktu penyemaian secara automatik.

“Kalau penternakan udang pula, bayangkan kita boleh tahu udang sedang kelaparan hanya dengan mendengar bunyinya daripada rakaman peranti dan sensor sistem IoT yang dimasukkan ke dalam air," katanya.

Agriculture and Food Security Ministry Secretary-General Datuk Seri Isham Ishak speak to the media during the press conference “Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025” at Wisma Tani in Putrajaya.— MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Isham berkata, antara tarikan HPPNK 2025 ialah terowong masa yang membawa pengunjung menyusuri sejarah dan evolusi pertanian negara daripada konservatif kepada lebih moden. — THE STAR/ SHAHRIL ROSLI

Memberi contoh tanaman cili pula, Isham berkata, penggunaan teknologi IoT bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, tetapi meningkatkan kecekapan dan hasil tanaman.

"Seorang peladang yang memiliki 1,000 hingga 2,000 polibeg cili, sebagai contoh, mampu menjana pendapatan lumayan jika disokong dengan sistem pengurusan tanaman berasaskan IoT," ujarnya.

Menerusi sektor peternakan pula, Isham berkata, kaedah moden seperti Artificial Insemination (AI) menggantikan proses semula jadi pembiakan haiwan.

“Dulu mungkin penternak kena letak dua ekor lembu bersama. Sekarang kita guna AI, bukan Artificial Intelligence, tapi Artificial Insemination yang mana kadar kejayaan pembiakan tinggi, antara 73 hingga 80 peratus,” jelas beliau.

Teknologi seperti itu ujar Isham, bukan sahaja memudahkan kerja tetapi juga mempercepatkan hasil dan inilah yang menjadikan pertanian lebih menarik kepada golongan muda yang lebih cepat faham dan cekap dengan sistem digital.

Sambutan HPPNK dapat membuka potensi strategik kepada prospek perniagaan daripada sektor perikanan, pertanian dan perladangan.

Teknologi seperti itu ujar Isham, bukan sahaja memudahkan kerja tetapi juga mempercepatkan hasil dan inilah yang menjadikan pertanian lebih menarik kepada golongan muda yang lebih cepat faham dan cekap dengan sistem digital.

Mengulas lanjut, Isham berkata, teknologi dan inovasi tempatan yang dibangunkan itu hasil penyelidikan agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan.

Malah menariknya, buat pertama kali, teknologi yang sebelum ini tidak pernah diketengahkan secara meluas akan diperkenalkan kepada umum, sekali gus membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk membeli dan mengkomersialkannya.

“Kalau kita betul-betul faham dan manfaatkan teknologi ini, bukan sahaja dapat tingkatkan kefahaman orang ramai terutamanya golongan muda terhadap sektor pertanian, malah membuka peluang pendapatan yang sangat lumayan.

"Ambil contoh penanaman durian. Dengan penjagaan yang betul, sebatang pokok durian boleh menghasilkan pendapatan lebih RM10,000 bagi satu-satu musim.

"Bayangkan jika peladang memiliki antara 50 hingga 100 pokok, tentunya pulangan yang diterima jelas mengubah persepsi lama terhadap pertanian sebagai industri kecil," jelasnya.

Program Road to HPPNK 2025 @ Sook di Pekan Sook dilancarkan pada 18 Julai lalu dengan dihadiri oleh orang terdiri daripada orang awam, warga peladang, penternak dan nelayan.

Daripada segi perikanan, Isham memberi contoh penternakan ikan menggunakan teknologi bioflok yang boleh memberi pulangan sehingga RM5,000 bagi satu tangki.

"Teknologi ialah sistem asuhan ikan yang kita mahu perkenalkan kepada pelawat, khususnya kepada usahawan baharu atau nelayan yang ingin menjana pendapatan alternatif.

“Satu tangki bioflok boleh jana antara RM4,000 hingga RM5,000. Kalau ada 20 atau 30 tangki, bayangkan potensinya lagi-lagi dengan permintaan terhadap ikan marin dan air tawar yang semakin meningkat.

"Sistem bioflok menjadi penyelamat khususnya semasa musim tengkujuh, apabila nelayan tidak dapat turun ke laut yang mana penternakan boleh dijalankan di darat dengan lebih selamat dan konsisten," jelasnya.

Selain hasil ladang, Isham berkata, HPPNK 2025 turut menekankan pentingnya pemprosesan makanan atau 'value adding' sebagai cara meningkatkan pendapatan peladang dan usahawan tani.

“Kalau kita jual hasil mentah saja, margin keuntungan agak rendah. Tapi kalau kita proses buat jem, makanan dalam tin, makanan siap makan (ready-to-eat), yang nilainya jauh lebih tinggi,” katanya.

Malaysia turut mempunyai kelebihan dalam pasaran makanan halal, yang kini menerima permintaan tinggi di peringkat global.

“Kita ada potensi besar dalam produk halal. Cabarannya sekarang ialah bagaimana untuk fokuskan pengeluaran secara lebih sistematik agar kita mampu menembusi pasaran global,” tambah beliau.

Demo penghasilan kompos daripada sisa tanaman menjadi antara pameran yang bakal menarik kunjungan pelawat HPPNK 2025.

Seiring tema ‘Kudrat Kami Menjamin Pertiwi’, sambutan HPPNK 2025 menyasarkan 500,000 pengunjung dan jualan RM100 juta dengan tarikan seperti jualan Agro MADANI Mega berkonsepkan Makanan Malaysia MADANI, membawakan lebih 500 aneka menu makanan tempatan, termasuklah makanan popular dari Negeri Di Bawah Bayu serta makanan-makanan viral yang digemari masyarakat hari ini.

HPPNK kali ini juga memberi penekanan terhadap pengurusan sisa menerusi penghasilan by-product seperti kertas dan benang daripada serat nanas dan demo pengurusan sisa dapur bagi penghasilan kompos daripada sisa tanaman.

Terdapat 18 segmen dalam empat fokus utama dalam sambutan HPPNK edisi kali ini iaitu Agro Millenia, Cukup dan Terjamin, Sejahtera MADANI dan Jualan dan Keusahawanan.

Selain itu, tarikan lain ialah terowong masa yang membawa pengunjung menyusuri sejarah dan evolusi pertanian negara daripada konservatif kepada yang lebih moden.

“Kita mahu tunjukkan bahawa pertanian bukan lagi satu sektor yang kecil atau tidak berdaya saing. Ia telah melalui fasa transformasi besar, daripada pendekatan tradisional yang konservatif kepada sistem pertanian moden berteknologi tinggi,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram