
PENGALAMAN mengendalikan bisnes sejak 2005 semasa bergelar pelajar universiti menjadikan Engku Isa Al Husam cukup masak dengan sepak terajang dunia perniagaan.
Pengasas jenama Leko Loko itu bukanlah orang asing dalam bidang peruncitan sebaliknya pernah mengendalikan bisnes termasuklah Kedai Asia di Jeddah, Arab Saudi selain mengeksport durian ke negara Timur Tengah itu.
Menyentuh mengenai 'bayi' baharunya, Husam berkata, dia memilih keropok lekor kerana menyedari potensi snek dari Terengganu itu yang cukup besar dalam pasaran tempatan serta antarabangsa.
BACA LAGI: 'Nak buat bisnes kena ada jiwa', semangat ayah dan kekuatan ibu resipi kejayaan pengasas Q Bistro
Husam mengambil inspirasi penyediaan lekor dengan sos keju daripada snek kentang goreng dipanggil frite yang cukup popular di Amsterdam. — FAIHAN GHANI/The Star
Siapa sangka, lekor menjadi item paling laris berdasarkan dapatan data dari pasar raya Foodmarket yang diasaskan oleh graduan Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu, sebelum dilepaskan kepada pemilik baharu, tahun lepas.
"Kita dapati ramai orang suka makan keropok lekor. Bukan orang Melayu saja, tapi orang Cina dan India serta pelancong dari negara luar pun gemar rasanya.
"Dari situ, saya sedar walaupun ia hanya 'staple product', namun ia memiliki potensi cukup besar jika dipasarkan dengan strategi yang baik," katanya kepada Majoriti.
Menjenamakan produknya sebagai Leko Loko, Husam berkata, dia menawarkan lekor yang diimport khas dari Kampung Durian Burong, Kuala Terengganu, Terengganu.
Didatangkan dalam bentuk 'crispy' (rangup digoreng), 'montel' (isi ikan padat) dan terbaharu 'klasik' (sesuai direbus dan digoreng).
"Saya mengambil inspirasi daripada snek kentang goreng dipanggil 'frite' yang cukup popular di Amsterdam. Jadi saya cuba ketengahkan sos keju asli tanpa pewarna untuk dinikmati bersama lekor di samping sos cili original," katanya.
Leko Loko juga boleh didapati dalam bentuk fusion gaya Jepun yang dihidangkan bersama 'bonito flakes'. — FAIHAN GHANI/The Star
Menurut Husam, dia mahu memposisikan jenama Leko Loko sebagai pengeluar makanan tempatan dalam sektor makanan dan minuman melibatkan industri hotel, restoran dan kafe (Horeca).
Justeru, katanya, pensijilan halal menjadi salah satu faktor penting bagi menembusi pasaran tersebut selain memenuhi standard HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Points), GMP (Good Manufacturing Practice) dan ISO (International Organization for Standardization).
“Dengan kaedah macam ni, senang untuk kami kembangkan pasaran. Contohnya, kalau ada pihak berminat untuk buka pasaran di Singapura, produk boleh terus dihantar sebab semua standard dah ada,” katanya lagi.
Setakat ini, mereka sudah membekalkan produk kepada beberapa rangkaian restoran terkenal termasuk di bawah kumpulan besar.
“Selepas ini, kami menyasarkan untuk bekerjasama dengan Prasarana, khususnya di rangkaian LRT dengan membuka outlet di stesennya,” jelas Husam.
Selain pasaran tempatan, dia berhasrat untuk menembusi pasaran luar negara dengan menyasarkan Arab Saudi dan Australia sebagai permulaan.
Aktiviti perdagangan itu bukan asing bagi Husam memandangkan pengalaman tersebut pernah ditimba semasa di UTP lagi apabila dia pernah mengimport alat muzik dan buah dari Mesir, selain mengeksport beras dari Thailand ke negara Timur Tengah itu.
Dia juga mengeksport barang-barang makanan Asia ke Arab Saudi sehingga tertubuhnya Kedai Asia.
Bagi Husam, dunia perniagaan bukan sekadar tentang untung semata-mata sebaliknya, ia penuh ujian, tekanan dan risiko yang hanya mampu dipikul oleh mereka yang benar-benar bersedia.
“Kalau kerja anda bagus, teruskan. Simpan sikit-sikit, buat pelaburan kecil-kecilan — itu pun dah cukup,” katanya.
“Tak semua orang sesuai berniaga, dan tak semua sanggup bertahan bila poket kosong. Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang sudah berkeluarga. Kalau ada anak, isteri, komitmen besar, cabarannya berganda,” ujarnya.
Husam suka mempelajari benda baharu dan menganggap bisnes sebagai kerjaya mencabar. — FAIHAN GHANI/The Star
Namun bagi Husam, kesukaran itu bukan penghalang malah menganggapnya satu cabaran yang menyeronokkan.
“Saya enjoy prosesnya. Ada orang driven by the money tapi duit bukan pendorong utama saya. Yang buat saya teruja ialah apabila dapat cuba benda baru. Duit, untung — semua itu cuma bonus,” tuturnya.
Pengalaman pernah ditipu hingga kerugian jutaan ringgit semasa mula-mula mahu membuat bisnes di Arab Saudi juga mematangkan Husam dalam menjalani liku-liku mengendalikan perniagaan.
"Pengalaman pahit itu menyebabkan saya mengalami kemurungan teruk selama tujuh bulan sehingga perlu mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan.
"Tapi ia memberi pengajaran cukup besar. Dari situ, saya belajar tentang kepentingan aspek perundangan dalam perniagaan.
"Sekarang, saya pastikan semuanya didaftarkan, termasuk hak harta intelek (IP) selain membuat background check dan meneliti perjanjian dengan rakan kongsi," katanya.
Dalam pada itu, Husam berkata, pihaknya juga menawarkan program francais untuk Leko Loko dengan pelaburan bermula serendah RM18,000. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram