Buah rosak, bertompok kena 'sunburn', peladang nanas, tembikai kongsi helah elak rugi ribuan ringgit


  • Bisnes
  • Ahad, 20 Jul 2025

Seorang pekerja ladang nanas menunjukan tompokan gelap pada nanas yang terdedah terlalu lama kepada terik matahari. — THOMAS YONG / The Star

DI tengah ladang nanas yang terbentang luas di Pekan Nanas, Pontian, Johor, kelihatan buah-buah ranum ditutup rapi seolah-olah dipakaikan topi kecil.

Ia bukan gimik sebaliknya strategi penting pekebun nanas demi memastikan kelangsungan hasil tuaian.

Bagi Haleem Lim, 58, langkah itu bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan yang perlu diambil oleh kebanyakan petani untuk menghadapi cuaca panas melampau.

BACA LAGI: Bermula di Kedah, 'budak bandar' ajak sapot lokal, jual madu tualang artisan demi hargai keringat Orang Asli

BACA LAGI: Berguru dengan Iron Chef Jepun di AS, lelaki asal Cheras buka FujiYama jual sushi fusion halal

“Bulan April hingga Jun selalunya musim paling panas di Malaysia. Kalau tak ambil langkah pencegahan, buah boleh rosak sebelum sempat dituai,” katanya ketika ditemui.

Menurut Haleem, pendedahan cahaya matahari yang berlebihan boleh menyebabkan buah nanas mengalami ‘sunburn’ atau kesan tompokon gelap seperti terbakar pada kulit buah.

Lebih membimbangkan, varieti popular seperti MD2, Josapine dan Yankee, yang berkulit lebih nipis, berisiko tinggi terdedah kepada kerosakan 'sunburn'.

Dia yang lebih sedekad bergelumang dengan pertanian nanas berkata, jika buah tak dilindungi, kulitnya boleh merekah atau berlubang.

"Hal itu sekali gus akan memberi ruang kepada kulat membiak. Apabila dah berkulat, ia tak boleh dimakan langsung,” jelasnya.

Justeru, kira-kira sebulan setengah sebelum musim menuai, peladang nanas akan menggunakan teknik menutup buah dengan pelindung khas digelar sebagai 'topi buah'.

Too much sun exposure will cause pineapples to suffer

Buah nanas yang tak dilindungi daripada terik matahari mengalami kerosakan 'sunburn' dan akan berlubang. — THOMAS YONG/ The Star

Trend 'comel' itu sebenarnya sudah diamalkan sejak lebih 10 tahun lalu ketika iklim menjadi semakin panas. 

“Kalau 20 tahun lepas, kita tak perlu pun tutup buah. Cuaca tak sepanas sekarang. Tapi sekarang, kalau tak buat, memang rugi,” katanya sambil menunjukkan barisan buah yang telah siap ‘bertopi’.

Haleem yang turut menghasilkan produk berasaskan nanas seperti jus, jem dan sos masakan berkata, satu kitaran tanaman nanas secara purata mengambil masa kira-kira 14 bulan.

Tempoh itu meliputi bermula dari penanaman hingga ke proses tuaian.

"Sudah semakin ramai peladang mengambil pendekatan proaktif demi mengelakkan kerugian akibat cuaca panas melampau ini," ujarnya.

Bukan hanya pekebun nanas yang berdepan kesan perubahan iklim.

Presiden Persatuan Penanam Buah-Buahan Malaysia, Koh Lai Ann, yang juga merupakan peladang tembikai, turut mengakui mereka berhadapan cabaran serupa.

“Kita memang tak boleh kawal cuaca, tapi kita boleh kawal kesuburan tanah. Pengurusan tanah yang betul sangat penting untuk kekalkan kesihatan tanaman,” katanya.

Menurut Koh, penggunaan baja organik dan peralatan bersesuaian membantu mengekalkan kelembapan dan nutrien tanah, walaupun ia memberi kesan kepada kos operasi.

“Kos memang meningkat, tapi kalau satu buah rosak, seluruh petak tanaman boleh terjejas. Lebih baik kita labur awal daripada rugi besar,” katanya lagi.

Koh turut menambah bahawa perubahan corak cuaca telah menyebabkan peningkatan penyakit berkaitan buah-buahan. 

Justeru, penyesuaian adalah kunci untuk memastikan hasil tanaman kekal berkualiti, selamat dimakan dan terus laku di pasaran.

Untuk rekod, cuaca panas yang melanda negara ketika ini berpunca daripada fenomena Monsun Barat Daya, yang bermula sejak 10 Mei dan dijangka berterusan sehingga September.

Sepanjang tempoh itu, peladang-peladang tempatan terus berinovasi dalam diam — bertarung dengan matahari, demi memastikan setiap buah yang dituai bukan sahaja sempurna rupa, tetapi juga selamat dinikmati pengguna. — The Star/ YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram